Thursday 15 September 2011

Pertemuan Minggu 1 - Set 7 FEP

Catitan Pensyarah
Saya terlupa banyak perkara hari ini. Lupa ini menyebabkan fizikal dan kesihatansaya tidak menentu di sebelah petang. Hari ini saya terlupa untuk lunch setelah mengambil breakfast ringan selepas bengkel pada jam 11 pagi. Jam hampir tiga petang apabila saya teringat akan perut yang kosong. Maka perut ini perlu diisi untuk menghadapi jadual kerja sehingga jam 7.00 petang. Namun jalan yang sesak dan parking yang penuh di Pusanika menyukarkan keadaan. Alhamdulillah alternatif berikutnya saya ke masjid UKM dan parking di sana kemudian berjalan kaki ke cafetaria terdekat. Jika semalam hujan lebat, hari ini panas terik.  Saya tahu risikonya apabila terlupa ini.

Ketika berjalan menuju ke DK2 FEP petang tadi, rasa pening belum hilang. Kekenyangan tidak menghilangkan pening nampaknya. Saya khuatir untuk menghadapi kuliah pertama  dengan pelajar set 7 pada hari ini tambah lagi jumlah pelajar hampir mencecah 90 orang. Lebih 20 orang berbanding kuliah sebelum ini. 

Ketika memasuki DK2 FEP, saya mula rasai beban pening ini berkurangan. Wajah-wajah pelajar memudarkan warna kesakitan yang saya bayangkan. Komitmen dan keterbukaan mereka merongkaikan simpulan-simpulan sakit yang sebelum ini seperti terpahat di kepala ini. Tiba-tiba sahaja saya berasa semangat dan bermotivasi. Tiba-tiba sahaja saya rasa gembira. Gembira yang menghilangkan sakit! Syukur kepada Tuhan! 
Kami mulakan dengan aktiviti walaupun ada tiga kali dentuman guruh di langit memberikan reminder hari akan hujan lebat. 

Saya tahu susah sebenarnya untuk melaksanakan task yang diberikan dengan bilangan yang ramai. Namun mereka ada kesungguhan dan kerjasama. Itu petanda  awal yang positif. Positif untuk aktiviti-aktiviti interaktif yang seterusnya pada masa depan. 

Aktiviti yang dijalankan ialah dengan meminta mereka membuat barisan yang panjang mengikut umur mereka. Yang paling muda di hadapan dan yang paling tua di belakang. Namun untuk menghasilkan barisan itu, mereka tidak dibenarkan bercakap. Dengan kata lain, mereka hanya dibenarkan berkomunikasi dengan cara lain. Sekali lagi saya 'terlupa' untuk merakam babak-babak tersebut. Namun saya percaya, ia adalah pengalaman yang berguna dan akan diingati kelak. Saya teringat akan suasana kuliah bersama pelajar set 17 hari Isnin lepas. Saya dapat lihat kesungguhan dan kerjasama yang sama hari ini.

Tidak habis di situ aktiviti mereka ini. Setelah mereka berjaya membuat barisan tersebut. Setiap dari mereka diminta bergerak dan mengambil tempat duduk baru dalam kuliah secara pasangan. Yang paling muda dengan yang paling tua mengikut barisan masing-masing.Keadaan semakin menarik kerana mereka semakin 'confused' kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan rakan baru. Jika sebelum ini mereka duduk dalam kumpulan yang telah dikenali, ataupun duduk di depan ataupun belakang. Kali ini mereka 'terpaksa' untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru walaupun berada dalam dewan kuliah yang sama. Mereka 'dibebankan' lagi dengan berkenalan dengan rakan baru sambil melukis gambaran tentang kawan mereka. Tetapi saya yakin setiap mereka punya cara tersendiri untuk menyelesaikan task 'ice-breaking' yang bertubi-tubi itu. Empat pasangan yang terpilih telah mengesahkan andaian saya. Mereka berusaha bersungguh-sungguh walaupun berasa malu, tidak biasa, segan dan keliru pada mulanya. Mereka dapat persembahkan lebih dari apa yang saya harapkan. Tahniah kepada semua. Anda amat kritis, lucu dan berkeyakinan. Mereka memberikan pelbagai respon apabila saya tanya 'apa yang anda rasa sekarang setelah membuat dan menyelesaikan aktiviti ini?' ... (panjang nak ditulis, saya harap pelajar2 saya bagi kedua-dua set akan kongsi di sini sedikit sebyk apa yang mereka rasai di minggu pertama ini)

Seterusnya saya mulakan taklimat kursus. Seperti tadi juga, tumpuan mereka amat bagus. Sayakah yang seorang-seorang teruja dengan mereka? Mungkin ya, kerana buat kali ketiga, saya 'terlupa' lagi untuk menyerahkan borang kehadiran kuliah sejak dari awal. 

Biarpun sampai tiga kali 'terlupa', saya berasa amat bersyukur kerana pelajar Set 7 dan 17 yang saya temui pada minggu pertama ini amat bagus dari segi partisipasi dan tumpuan. Saya percaya sikap positif yang anda pamerkan akan memberikan hasil yang positif kepada pengajian, kerjaya dan hidup anda kelak.

Ceria sungguh mereka!

Sehingga bertemu lagi di minggu hadapan!!

No comments:

Post a Comment

Pages