Friday 30 September 2011

Minggu ke-3: Apa Dah Jadi?

Minggu ini berlaku peningkatan dalam jumlah pelajar bagi kedua-dua set. Para pelajar sendiri tentu menyedari kehadiran rakan baru yang telah menganggotai kumpulan yang sedia ada ataupun kemunculan kumpulan baru yang telah mewarnai pentas kuliah pada minggu ini.
Fokus kuliah pada minggu ini bagi kedua-dua Set ialah kepada Komunikasi Awam, Penggunaan Laras Bahasa, Halangan Komunikasi, serta Aspek Keberkesanan Berkomunikasi. 

Pelajar set 17 mendapat sedikit kerja rumah pada minggu kedua. Saya telah meminta mereka untuk mencari 10 kata-kata hikmah, ayat al-Quran ataupun Hadith berkaitan dengan pembangunan Diri. Tujuannya supaya mereka mencari, mengumpul, kemudian mempersembahkannya dalam bentuk visual (poster presentation) dan lisan. Saya dapati pelajar saya ini memang rajin. Agaknya mereka memang suka kepada kerja rumah. Kerajinan yang membanggakan. Mereka tidak hanya bawa 10 tetapi lebih 20 slides powerpoint yang kemudiannya diubah dalam bentuk poster (JPEG). Setakat ini jumlah slides yang dihimpunkan hampir 70. Hanya satu kumpulan yang dipanggil untuk tampil membentangkan hasil kerja mereka. Kita akan cari peluang untuk hasilkan sesuatu yang bakal melibatkan semua kumpulan pada minggu akan datang yang lebih fokus kepada kecekapan/kemahiran untuk melatih kreativiti dan inovasi kelak. (Pemikiran Kritis, Kreatif dan Saintifik)

Sesi berikutnya kita sambung dengan 3 orang pelajar yang terpilih untuk menyampaikan ucapan 'ekstemporan' selama 1 minit. Sesi One-Minute Islam Session hanya memberi ruang kepada tiga orang pelajar ini memperaktikan ucapan awam yang bersifat informatif. Sesi ini tidak mengambil masa yang panjang. Ini kerana kita ada acara 'sambutan' pelajar baru yang baru sahaja mendaftar dalam set 17. Kumpulan pelajar baru ini (siswa kesemuanya) diberikan tugasan spontan dan mereka dikehendaki membuat satu persembahan Forum bertajuk - Ustazah Pilihan: Pro dan Kontra. Saya dapati ahli kumpulan ini berjaya membuat pengagihan kerja kumpulan dengan pantas. Mereka berjaya memilih 3 orang panelis di kalangan mereka, seorang pengerusi forum, seorang pengerusi majlis tetap dan dua lagi rakan mereka ditugaskan menjadi audien yang bakal bertanyakan soalan kepada panelis. 

Penggunaan laras biasa/umum dan laras agama dalam pengucapan mereka amat ketara sesuai dengan latarbelakang mereka sebagai pelajar pengajian Islam. Apa yang menarik di samping ucapan spontan panelis ialah sambutan dan reaksi yang ditunjukkan oleh pelajar lain bukan ahli kumpulan. Selain mendengar dengan teliti and atentif, mereka ambil bahagian dengan kemukakan soalan, menganggukkan kepala tanda setuju, tidak melakukan aktiviti lain kecuali mendengar dan memberikan perhatian dan sekaligus 'menunjukkan' isu yang dibincangkan menarik perhatian mereka. Tiba-tiba sahaja seperti kata-kata dari pengerusi forum Forum hari itu telah jadi acara perbincangan yang serius.

Saya percaya, perbincangan forum tersebut tidak berhenti dengan tamatnya kuliah pada hari tersebut. Tahniah kepada ahli kumpulan tersebut kerana berjaya menghasilkan satu perbincangan yang menarik.

Bagaimana dengan kuliah Set 7? Walaupun fokus kuliah bagi kedua set ini sama namun aktiviti yang dijalankan  oleh pelajar ada sedikit perbezaan. Pada asalnya kuliah akan dibahagikan kepada dua bahagian. Sebahagian  (Kumpulan 6-10) yang akan membuat persembahan dan kumpulan 1-5 akan berada di dalam bilik kuliah untuk menjalankan aktiviti berdasarkan modul. Akan tetapi atas permintaan ramai, mereka semua mahu aktiviti berdasarkan senario dan persembahan. 

Pensyarah tidak sampai hati untuk menolak permintaan mereka. Maka kumpulan-kumpulan tersebut diberikan dengan soalan-soalan yang telah disediakan. 10 Kumpulan masing-masing mendapat soalan. mereka. Kumpulan 1 dan 6 diminta melakonkan kembali babak video tugasan kemahiran komunikasi dengan membuat penambahan watak-watak baru dan menunjukkan bagaimana cara berkomunikasi dengan baik dan berkesan.

Kumpulan 2 dan 7 dikehendaki mempromosikan KASUT jenama baru dengan menggabungkan bentuk pengucapan awam informatif dan persuasif. Manakala kumpulan berikutnya dikehendaki berkempen dan mempromosikan salah seorang ahli mereka secara pengucapan persuasif agar dilantik menjadi ketua kelas bagi kuliah ini. 

Pelbagai aksi, gaya dan komunikasi verbal dan non-verbal digunakan oleh kumpulan ini untuk mempromosi calon-calon mereka. Tidak kurang juga beberapa janji manis ditaburkan oleh para calon mencuit hati semua. (termasuklah pemberian buku Modul Pembangunan Diri percuma kepada semua, lawatan ke US dan Disneyland Hongkong, belanja makan selepas kuliah, dsb.) Persembahan mereka diselang-selikan dengan ulasan dan tayangan video secara ringkas.  

Sayangnya puan pensyarah tidak membawa kamera pada minggu ini untuk merakam setiap aktiviti yang dijalankan. Semoga hasil persembahan dan pengajaran daripadanya terakam dalam minda dan hati semua pelajar! 

Contoh ucapan awam persuasif 

Contoh penggunaan laras bahasa biasa dan ilmiah 

Kadang-kala ada orang mampu berkomunikasi dengan kita lebih dari kemampuan fizikal mereka!


Jumpa lagi!



No comments:

Post a Comment

Pages