Saturday, 19 November 2011

Words that Change the World



One of my favourite scenes begins after 5.20

Ulangkaji Atas Talian 7 - Penyelesaian Masalah Secara Islam

Modul 2: Menurut Abdul Rahman (2002, hal.55) penyelesaian masalah secara Islam terbahagi kepada tiga pendekatan, iaitu pendekatan tauhid, pendekatan hukum dan pendekatan sufi. Ketiga-tiga pendekatan ini juga dikenali sebagai akidah, syariah dan akhlak. Ia saling melengkapi dan menguatkan. 


Berikut ialah dua contoh hasil tugasan pelajar mengenai topik di atas setelah ditugaskan untuk menonton filem Dalam Mihrab Cinta. Dalam tugasan tersebut pelajar dikehendaki mengenalpasti contoh-contoh, menganalisa serta membuat sintesis apa yang mereka pelajari setelah menonton dengan mana-mana pendekatan penyelesaian masalah secara Islam. 

Penyelesaian Masalah Menurut Pandangan Islam:

Nama: Mohd Ajrul Azhim Bin Zaimi
No Matrik: A137117

Berdasarkan filem Mihrab Cinta ini terdapat beberapa perkara yang cuba digambarkan oleh penerbit penyelesaian masalah dalam kehidupan harian menurut Islam.

Dari aspek pendekatan tauhid, kita dapat ambil iktibar bahawa Syamsul Hadi tidak sepatutnya merasa putus asa dengan setiap dugaan yang Allah sediakan buatnya, bahkan lebih kuat melalui dugaan tersebut. Contohnya, apabila sudah tidak ada orang yang mempercayainya kerana dituduh mencuri, beliau tidak sepatutnya berubah dari seorang yang baik kepada seorang pencuri. Beliau sepatutnya percaya dengan setiap kejadian yang Allah dugakan itu mempunyai hikmah yang tertentu buat hamba-hambanya.

Dari aspek hukum, kita dapat lihat dengan jelas dalam Islam apabila sesuatu hukuman hendak dilaksanakan mengikut apa yang telah digariskan dalam Islam, tidak boleh mengambil tindakan secara melulu, contoh yang dapat kita lihat seperti hukuman yang dikenakan ke atas Syamsul Hadi oleh pihak Pesantren (Pondok) terhadapnya. Pihak Pesantren tersebut sepatutnya menyelidiki kes tersebut dengan lebih teliti seperti mengadakan saksi dalam kes tersebut supaya penghakiman itu tidak menganayai sesiapa.

Dari aspek hukum dari sudut yang lainnya, sesorang yang tertuduh apabila membela dirinya sperti yang dilafazkan oleh Syamsul Hadi iaitu lafaz sumpah dengan nama Allah, maka dalam Islam sepatutnya dakwaan tersebut digugurkan dari beliau, kerana dalam kaedah usul fiqh ada menyatakan bahawa asal sesuatu itu tidak bebanan, maka asal bagi Syamsul Hadi asal baginya tiada perbuatan mencuri melainkan ada bukti atau saksi yang mengaitkan beliau dengan pencurian itu.

Dari aspek sufi pula, Syamsul Hadi telah insaf dari perbuatan jahat yang dilakukannya. Insaf yang dikehendaki dalam Islam iaitu individu tersebut merasa bersalah dengan perkara yang salah itu, menyesalinya untuk tidak melakukan kesalahan itu kembali, dan jika kesalahan itu bersangkutan dengan anak Adam hendaklah memohon kemaafan dari anak Adam itu. Kita dapat lihat tindakan Syamsul Hadi yang mengganti kembali wang yang pernah dicuri dari orang ramai, pendekatan sufi disini iaitu beliau bersungguah-sungguh untuk membersihkan dirinya daripada dosa yang dilakukannya.

Dari aspek sufi dari sudut yang lainnya, iaitu ketabahan yang dilalui oleh Syamsul Hadi berbekalkan dengan keimanan yang jitu semasa orang yang beliau bakal mendirikan rumahtangga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Beliau mengikhlaskan pemergian tunangnya itu ke pangkuan Ilahi, hal ini bukan mudah bila seseorang kehilangan orang yang tersayang melainkan ketakwaan dan keimanan yang tersemat dijiwanya terhadap Allah.

Kesimpulannya, filem ini berjaya menonjolkan nilai-nilai dalam Islam yang dapat diambil sebagai pengajaran dan sempadan dan dipraktikkan dalam kehidupan supaya kehidupan kita memperolehi rahmat dan berkat dari Allah.

Berikut adalah video yang dihasilkan oleh dua pelajar yang boleh menjelaskan lagi huraian yang diberikan di atas. 

video




Thursday, 17 November 2011

Video Pembangunan Diri

video

Ini merupakan hasil usaha 3 daripada 10 kumpulan pelajar FPI (Set 17) yang telah mengumpul dan mempersembahkan kerja berpasukan mereka pada minggu ke-2 dan ke-3 yang lalu. Poster-poster yang mereka sediakan telah dijadikan slides untuk video ini. 

Ia menyentuh topik komunikasi, ilmu dan kecemerlangan serta motivasi.

Terdapat 2 video lagi akan dimuat-naik ke blog ini nanti. Semoga semua dapat menunggu dengan sabar.

Wednesday, 16 November 2011

Minggu ke-9: Tugasan Aktiviti Untuk Pelajar Set 7 FEP

Assalamualaikum dan Selamat tengahari! 

Belum terlewat untuk mengucapkan selamat kembali ke kampus buat semua dan kepada yang tidak pulang ke kampung/negeri sewaktu cuti yang lepas, saya percaya anda telah memanfaatkan cuti tersebut dengan kerehatan dan pelbagai aktiviti. Kepada yang sempat balik kampung, tentu ia kepulangan yang bermakna setelah lama tidak kembali!

Untuk minggu ini ada Dua Aktiviti untuk diselesaikan dalam tempoh 2 jam. Saya berharap, para pelajar dapat bertemu seperti biasa esok Khamis jam 5-7 pm dan gunakan slot kuliah kursus untuk menyelesaikan latihan dalam pasukan yang diberikan. 

Setiap kumpulan perlulah membaca modul 4 - Pengurusan maklumat hal 101-108 sebelum ke kuliah/sebelum memulakan aktiviti yang diberikan. Gunakan kesempatan 15 minit terawal untuk membincangkan modul ke-4 di atas dan mulakan dengan aktiviti. 

Perincian tugasan diberikan kepada setiap pelajar melalui email seperti yang didaftarkan dengan SPIN. Saya berharap anda dapat menyemak email masing-masing sebelum kuliah esok. 

Sekian, terima kasih.

Monday, 14 November 2011

Deadline Kerja Rumah

Saya telah terima kerja-kerja rumah para pelajar Set 7 dan 17 sejak minggu lepas dan menjangka akan terus terima tugasan tersebut sehingga hari ini. 

Tugasan
FPI - Mihrab Cinta - Penyelesaian Masalah Menurut Islam
FEP - Refleksi - 3 Idiots

Selamat Kembali ke Kampus!

Sunday, 13 November 2011

Minggu ke-9 - Set 17 FPI - Isnin 14 November 4-6pm

Tugasan - Setiap kumpulan dikehendaki membuat perbincangan dalam kumpulan masing-masing.

Lantik seorang pencatit untuk mencatit perbincangan kumpulan dan menyenaraikan kehadiran ahli. (seboleh-bolehnya terus ditaip perbincangan sewaktu berlangsung pertemuan)

Setiap ahli mesti memberikan fokus kepada : Objektif 1-3 (Hal 101) . 

Sebagai garis panduan untuk perbincangan:

Para pelajar bolehlah mengikuti panduan di bawah.

1) Bincangkan isi penting mengenai:

a) Kepentingan Kemahiran Pengurusan Maklumat
b) Konsep Literasi Maklumat
c) Kaedah Memperolehi maklumat 
d) Aplikasi Kemahiran 

2) Berdasarkan pengalaman dan teknik-teknik yang pernah dipelajari, senaraikan kaedah/teknik yang pernah digunakan/dipelajari untuk mendapatkan maklumat. 
3) Bincangkan sumber-sumber maklumat/pengetahuan yang biasa digunakan. 

4) Di akhir perbincangan, para pelajar dikehendaki membina 4 soalan berkenaan topik di atas dan menyediakan jawapannya. Sila hantar soalan-soalan ini beserta jawapannya, bersama laporan perbincangan.

Ringkasan laporan pertemuan dan perbincangan di atas perlu dihantar kepada pensyarah  selewat-lewatnya pada 15 November 2011.



Refleksi Minggu ke-8

Apakah yang dilakukan oleh para pelajar set 17 dan 7 pada minggu ke 8 iaitu minggu terakhir sebelum cuti mid-term bermula? 

Pelajar FPI set 17 telah menjalani kuiz secara berkumpulan. Soalan-soalan yang dikemukakan berkisar tajuk-tajuk dan aplikasi bagi modul Pemikiran Kritis, Kreatif dan Penyelesaian Masalah. 

Manakala setiap pelajar FEP perlu menulis refleksi secara kendiri mengenai sebuah film (3 idiots). Penulisan refleksi merupakan salah satu latihan Pemikiran Kritis dan mereka diberikan seminggu untuk menyiapkannya. 

Kedua-dua tugasan di atas termasuk dalam pemarkahan - untuk penilaian berterusan. 

Selamat hari raya!

Wednesday, 2 November 2011

Refleksi Minggu Ke-7


Saya imbas kembali apa yang dikongsi pada minggu lepas.

Dua video yang dipaparkan telah menghangatkan suasana di awal kuliah. Masihkah ingat pada iklan 'shampoo rambut that can never be yours'? juga kisah kanak-kanak yang disangka ada masalah rupanya seorang yang terlalu kreatif? Saya rasa semua masih ingat lagi!

Perkara yang diingati ialah semua respon-respon pantas daripada para pelajar sewaktu tayangan video itu dihentikan beberapa kali. Namun yang paling saya ingati ialah gamatnya kuliah dengan suara dan gelak ketawa anda, para pelajar semua apabila melihat pemilik sebenar 'rambut' yang ditayangkan!

Dalam kuliah di FPI pada Isnin 24/10 sebelum kita mulakan aktiviti debat. Ada sesi kuiz ringkas dilontarkan. Beberapa soalan untuk menguji pembacaan dan kefahaman pelajar untuk Bab 2 telah diberikan. Mereka yang cepat dan berjaya menjawab dengan tepat mendapat hadiah sebatang pen. Jika tidak silap saya ada seorang pelajar lelaki telah mendapat dua batang pen kerana berjaya menjawab dua kali dengan tepat. 

Empat kumpulan (2 pasukan siswi dan 2 pasukan siswa) telah beraksi berhujah secara kritis tajuk 'Facebook Membawa Keburukan Daripada Kebaikan'. Dapat dilihat dari usaha dan persedian pembahas dan kumpulan mereka, bagaimana mereka telah mengumpul data untuk perbahasan. Tajuk ini telah diberikan sejak minggu ke-6 lagi.

Sementara kumpulan pembahas ini bersedia, para pelajar lain yang menjadi penonton diminta untuk menyediakan nota kecil dan menulis sekurang-kurangnya 10 idea mereka tentang topik yang bakal dibahaskan. Jika anda boleh kaitkan usaha tersebut, ia sebenarnya usaha di peringkat 'gathering' dalam struktur bagaimana kita membina pemikiran kritis. Sila lihat gambarajah -Building Critical Thinking - dalam modul pada mukasurat 39.

Di peringkat pertama kita mengumpulkan data, kita mulakan dengan 'menyatakan idea', 'mengingat kembali pengetahuan yang sedia ada', menyebut, menamakan, menggambarkan dsb.

Kemudian di peringkat kedua - processing -  dalam membina pemikiran kritis dan memproses maklumat, kita libatkan aktiviti seperti menganalisa maklumat, menerangkan sebab, membuat klasifikasi dan perbandingan, memberikan hujah dsb. Peringkat ini paling ketara sewaktu berlangsungnya debat tajuk di atas.

Peringkat ketiga - applying - kita mula menilai maklumat dan idea, memberikan justifikasi, membuat andaian dan cuba mengetengahkan kesimpulan. Pemikiran logik digunakan di peringkat ini untuk memperteguhkan hujah dan idea yang telah dibuat sebelum ini. Di peringkat ini juga, idea yang bercanggah dipertahankan oleh para pendebat samada melalui membuat kesimpulan berdasarkan logik deduktif (kesimpulan daripada yang umum kepada khusus) ataupun induktif (menyatakan kesimpulan daripada yang perkara khusus kepada umum).

Dalam kuliah di FEP 27/10, untuk melenyapkan kepenatan berbengkel seharian di IOI garden di Putrajaya, saya mulakan kuliah dengan pertanyaan demi pertanyaan.

Apa yang kita boleh buat dengan coklat? Bagaimana jika semua manusia tiada rambut? Bagaimana jika kasut tak diciptakan? Pelbagai jawapan pelik lagi lucu diberikan oleh pelajar termasuklah 'penjualan cermin mata hitam jadi amat laris kerana nak elak sinaran mengilaukan dari kulit kepala'! 

Sekali lagi tayangan video kesukaan saya ditayangkan. Ruang kuliah yang malap menjadi gempar dengan gelak ketawa pelajar apabila mereka melihat 'pemilik' rambut shampoo. Puas mereka memerah idea untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan sewaktu tayangan video itu dihentikan.

Tumpuan kuliah di FEP berkisar tentang kemahiran penyelesaian masalah. Seperti yang dijelaskan oleh Edward de Bono - Salah satu kemahiran menyelesaikan masalah ialah dengan cara mengelak masalah. Seseorang boleh pergi ke awal/penghujung dan mengubahnya untuk mengelak ia berlaku / berulang pada tempat yang sama. (Modul - Bab 2, m.s 45)

Antara teknik yang boleh digunakan ialah dengan mengaplikasikan S W O T. Dalam kuliah tersebut, para pelajar dilatih membuat analisa SWOT. Sebagai aktivitinya, mereka dikehendaki merujuk kembali kepada tugasan pada minggu ke-5 di mana mereka dikehendaki membuat rancangan aktiviti berkumpulan. Berdasarkan rancangan tersebut, mereka diminta menulis kembali sekurang-kurangnya dua objektif mereka dan menyediakan sehelai kertas bersaiz A4. Mereka perlu sediakan 4 petak SWOT dan mengisinya.

Tahukah anda:
Antara Petua ketiga kejayaan Mendiang Steve Job ialah mengaplikasikan SWOT.
Daripada aktiviti ini, para pelajar bukan sahaja memerah dan mengumpulkan idea tetapi mereka berusaha meninjau kebolehan dan kekuatan yang mereka ada. 

Mereka juga dilatih untuk berfikir tentang kelemahan mereka dan bagaimana kekuatan yang mereka ada boleh mengatasi kelemahan. Di sini sebenarnya kita dilatih untuk memecahkan tugasan/masalah kepada permasalahan-permasalahan yang lebih kecil (sub-problems) dengan harapan kita dapat menyelesaikan ataupun mencari pilihan penyelesaian dengan lebih terperinci. Dalam proses menyelesaikan masalah/tugasan, memahami masalah ataupun tugasan itu amatlah penting.

Seterusnya, dari sini juga kita dapat menyenaraikan apakah potensi, idea alternatif dan meneroka pilihan-pilihan baru.

Dalam SWOT terdapat ancaman luar yang kadang-kala tidak boleh dielakkan seperti berlaku malapetaka seperti tanah runtuh, hujan lebat, wabak penyakit dsb. Ancaman ini perlu diberikan perhatian oleh para perancang aktiviti bagi mengelak perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Dengan menggunakan teknik SWOT kita boleh merancang, mengandaikan serta membuat beberapa perubahan ke arah yang lebih baik lagi.

Saya berharap setiap aktiviti yang dijalankan pada minggu ke-7 ini dapat memberikan faedah kepada semua pelajar. Latihan secara langsung dan tidak langsung penting dalam pembangunan diri kita. Oleh itu setiap teknik yang dipelajari ini harapnya dapat dilaksanakan untuk aktiviti-aktiviti/penyelesaian tugas/masalah para pelajar pada masa depan.

Tuesday, 1 November 2011

Prinsip Kepimpinan Menurut Perspektif Islam

Berikut ialah video (ada 12 siri kesemuanya) yang amat menarik dihasilkan di US hasil pandangan Muslim dan bukan Muslim mengenai peribadi dan kepimpinan Muhammad bin Abdullah s.a.w.

Untuk lebih menghayati video ini bacalah modul bermula dari m.s 81-82 kemudian hubungkan kefahaman anda dengan info-info yang ditonton.

Secara peribadinya, saya menganggap video ini antara yang terbaik pernah dihasilkan untuk menjelaskan konsep Islam dan Kepimpinan. Bahkan ia dihasilkan setelah meletusnya peristiwa 9/11 yang meletakkan Islam sebagai 'spotlight' di mata media dan dunia.

Sambil menonton juga anda boleh cuba mengaitkan kepimpinan Nabi Muhammad dengan teori-teori kepimpinan yang telah dipelajari.

Selamat Menonton!

Pages