Saturday 29 October 2011

Garis Panduan Penyediaan Laporan

Assalamualaikum / Selamat Pagi

Source of poster: link

Untuk makluman pelajar semua (Set 7 dan 17), garis panduan untuk dipatuhi dalam penyediaan laporan aktiviti telahpun dimuatnaik ke SPIN.

Sila rujuk pada ruangan Communication dan klik pada bahagian Discussion. Dapatkan Garis Panduan tersebut dalam senarai topik Minggu ke 7 Garis Panduan.

Terdapat dua dokumen disediakan iaitu dalam bentuk microsoft word dan pdf. Sila baca dengan teliti dan cuba fahaminya dengan baik. Jika ada apa jua persoalan/masalah untuk mendapatkan garis panduan tersebut dari SPIN bolehlah hubungi pensyarah dengan segera.

Sila maklumkan mengenai garis panduan ini kepada ahli-ahli pasukan masing-masing.

Sekian, terima kasih.

Friday 28 October 2011

Set 7 - FEP - Aktiviti Minggu Ke-8


Hanya untuk pelajar set 7 - FEP 

Anda dikehendaki menonton filem 3 idiots, sebuah filem yang mengisahkan dunia pengajian pelajar di sebuah universiti ternama. 

Sebagai tugasannya ialah, setelah menontonnya sehingga selesai anda dikehendaki menulis refleksi sekurang-kurangnya 200 patah perkataan, (ditaip) mengenai filem berkenaan dan apakah yang anda rasai/fikirkan setelah menontonnya. Sewaktu membuat refleksi ini kaitkan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan ciri-ciri seorang life-long learner yang punya self-motivation dan self-direction. 

Kaitkan dengan diri anda sebagai seorang pelajar universiti! (penting)

Sebagai panduan untuk menulis refleksi - anda perlulah memasukkan semua elemen berikut dalam deskripsi (description) anda.  

1) Penerangan ringkas mengenai filem tersebut. 
2) Penerangan ringkas mengenai apakah yang anda ataupun rakan-rakan anda rasai setelah menonton filem berkenaan. 
3) Pandangan anda secara kritikal terhadap filem tersebut dengan mengaitkannya dengan dunia universiti dan pelajar. 
4) Anda dikehendaki mensintesis dan membuat pertimbangan di antara perkara-perkara yang anda dapati / tonton. 
5) Rumusan, apakah yang anda telah pelajari lain dari yang lain melalui filem berkenaan. 

Bagi pelajar yang kurang berminat denga filem di atas, saya cadangkan filem Dead Poet Society sebagai pilihan lain.

Tugasan - Individu 
Sila tulis nama (no matrik dan no.telefon) hantar ke email pensyarah. 

Deadline - 14 November 2011 - sebelum jam 11.00 pagi. (hantar awal digalakkan) 

Thursday 27 October 2011

S-M-A-R-T

'Goal Setting' / menetapkan matlamat yang ingin dicapai merupakan satu perkara yang penting apabila kita membuat rancangan untuk menjalankan sesuatu aktiviti bersendirian dan berpasukan. 

Terdapat banyak teknik dalam membuat objektif ataupun matlamat bagi sesuatu aktiviti. Antara teknik yang mudah diikuti ialah S-M-A-R-T Technique. Apakah itu Teknik SMART? 
Pada hari ini sekali lagi anda sepasukan berbincang semasa pasukan mengenai apakah objektif yang pasukan anda ingin capai daripada aktiviti dan dari sini anda perlu menulis satu-persatu langkah-langkah yang sesuai untuk menjayakan objektif berkenaan. 

Saya dapati hampir semua pasukan pelajar Set 7 menulis objektif aktiviti mereka dalam bentuk umum. Oleh itu, langkah-langkah yang mereka susun untuk mencapai objektif itu juga menjadi umum. 

Dengan teknik SMART, pasukan anda akan memperolehi matlamat pasukan yang lebih terperinci dan praktikal. Dari sini jugalah, langkah-langkah yang lebih terperinci akan diatur bahkan anda akan dapati bahawa kumpulan anda boleh membuat pembahagian kerja dengan sempurna dan melibatkan semua anggota. 

Mari lihat video ini dan kemudian bandingkan dengan objektif yang telah kumpulan anda tulis. Walaupun teknik yang diperkenalkan dalam video ini menggunakan contoh berkaitan dengan dunia pasaran dan perniagaan, ia masih boleh diserasikan dengan aktiviti-aktiviti lain. Seperti aktiviti yang telah dirancang oleh para pelajar pada minggu ke-5.


Selamat belajar!

Tuesday 25 October 2011

SWOT Analysis

Apakah itu SWOT Analysis?

SWOT Analysis merupakan salah satu langkah dalam membuat sesuatu keputusan. Ia melihat kepada empat medan iaitu S - W - O - T iaitu kependekan kepada Strengths (Kekuatan yang dimiliki oleh individu/organisasi) , Weaknesses (Kelemahan yang didapati pada diri individu/organisasi), Opportunities (peluang-peluang yang positif) dan Threats (mara bahaya ataupun keadaan yang negatif yang boleh memberikan risiko kepada diri dan organisasi apabila sesuatu keputusan itu diambil/tidak diambil)

Teknik ini tidak hanya digunakan dalam dunia ekonomi dan perniagaan. Ia boleh digunakan dalam pelbagai situasi apabila kita ingin membuat keputusan. Hatta dalam menjalankan aktiviti kecil seperti bermain bola di waktu petang. Dengan menggunakan teknik ini kita dapat merancang dengan lebih awal apakah langkah ataupun strategi yang berkesan dan alternatif sekiranya sesuatu keputusan itu ingin diteruskan.

Ambil contoh perancangan aktiviti pelajar yang telah dirancang pada minggu ke-5 yang lepas. Ketika kita membuat perbincangan memilih aktiviti dan ingin meneruskannya, perancangan aktiviti kita untuk minggu ke 11 dan 12 kelak akan lebih mantap jika kita cuba membuat SWOT Analysis. Bagaimanakah caranya?

Pertama - Sila tonton video ini:

Kedua - Sila dapatkan kertas bersaiz A4 dan buat 4 petak. Kemudian cuba isi petak-petak tersebut mengambil kira kekuatan (strengths) dan kelemahan (weaknesses) dalaman yang kita ada. Kemudian isikan pula peluang-peluang (opportunities) dan cabaran/masalah luaran (threats) yang kita tidak dapat kawal. 

File:SWOT en.svg
Source: link

Kemudian kita membuat perbandingan di antara petak-petak S W O T. Kita perlu lihat apakah kekuatan yang kita miliki boleh mengatasi 'threats' jika ia terjadi. Apakah peluang-peluang yang kita ada dengan adanya sedikit kekuatan tetapi banyak kelemahan. 

Contohnya, jika kita merancang bermain bola sepak dengan kekuatan pemain yang ada dan ramai, tetapi hari yang berlangsung hujan lebat. Apakah ada peluang lain yang boleh kita fikirkan seperti mengadakan permainan futsal di ruang tertutup? Jika kita merancang untuk menonton filem/wayang tertentu, bagaimana sekiranya pada hari tersebut filem yang kita ingin tonton tidak ditayangkan ataupun tidak dijumpai. Apakah ada peluang/ back-up alternatif lain yang kita boleh fikirkan.

Kaedah SWOT ini merupakan salah satu plan strategik yang boleh kita gunakan untuk mengelak ataupun mengurangkan masalah ataupun risiko lebih awal apabila sesuatu keputusan peribadi ataupun pasukan ingin diambil. Dengan mengambil langkah ini perancangan aktiviti akan lebih mantap, mencapai objektif dan kita akan dapat sediakan back-up plans (payung sebelum hujan) jika berlaku 'threats' yang tidak dapat dielak kelak.

                  'Mengelak masalah adalah perkara penting dalam penyelesaian masalah'
                   Edward de Bono. (Bab 2 Pemikiran Kritis, Penyelesaian Masalah dan Pemikiran Saintifik.
                   Modul Pembangunan Diri.  Hal.45)

Selamat Mencuba!!

Monday 24 October 2011

Kemahiran Mencari Solusi

Problem Solving Skill/Technique sering diterjemahkan kepada kemahiran ataupun kecekapan dalam 'Menyelesaikan Masalah' (tugas ataupun urusan).

Perkataan 'Masalah' ini biasanya membawa maksud yang negatif dalam konteks bahasa melayu.

Tahukah anda, sebenarnya ramai orang mendapat faedah daripada 'masalah'. Dalam konteks ini, 'masalah' bukan lagi sesuatu yang negatif tetapi positif dan banyak menguntungkan beberapa pihak yang kritis, kreatif dan inovatif. Shampoo rambut sebagai contohnya. Shampoo yang pelbagai telah dicipta dan dipasarkan untuk menangani 'masalah' kulit kepala - kegatalan, kekeringan, rambut gugur dsb.

Sebenarnya saya lebih gemar menukar terjemahan kepada kemahiran ini kepada Kemahiran Mencari Solusi.  

Di sini kita membentuk pemikiran kita supaya tidak menumpu kepada 'masalah ataupun problem' tetapi lebih melihat kepada solusi (solution) ataupun apakah langkah-langkah yang mesti dilakukan untuk mengurang, menyelesai ataupun mengatasinya.

Boleh jadi video di bawah berguna sebagai salah satu bahan rujukan.

(Sila mute/ perlahankan muzik jika tidak suka kepada muzik latarnya!)


Happy watching indeed!

Minggu ke-7 (Persediaan Sebelum Hadir ke Kuliah)

Kepada Semua pelajar Set 17 (FPI Isnin 4-6pm) dan Set 7 (FEP Khamis 5-7pm), anda semua diminta agar membaca terlebih dahulu mengenai:

1. Maksud Kritis dan Pemikiran Kritis
2. Maksud Logik dan Pemikiran Logik
3. Maksud Masalah dan Kemahiran Menyelesaikan Masalah
4. Keupayaan/fungsi otak kanan dan otak kiri
5. Perbandingan di antara 'Hujah', 'Pendapat' dan 'Penerangan'.

PERHATIAN - KEPADA PELAJAR SET 7 FEP - KHAMIS 5-7 pm,
* Sila bawa sesalinan rancangan aktiviti (minggu ke-5) yang telah dihantar kepada pensyarah.


'Menjadi seorang mahasiswa institusi pengajian tinggi menuntut anda memiliki suatu pemikiran dan paradigma yang berbeza dengan mereka yang berada di luar kampus ataupun dunia keilmuan. Di antara pemikiran tersebut ialah pemikiran kritis, kreatif dan inovatif'.  

Friday 21 October 2011

Refleksi Minggu Ke-6

Tiga 'pasukan' Siswa FPI set 17 membuka tirai minggu ke 6 dengan persembahan pasukan masing-masing. Pasukan pertama, membawa ketokohan dua pemimpin yang karismatik (juga kontemporan dan juga transformasi) dengan membuat perbandingan dari sudut persamaan dan kelainan di antara mereka. Pasukan berikutnya membawa rakan-rakan mereka ke padang bola sepak dengan menerangkan bagaimana satu pasukan bola sepak bergerak dalam satu pasukan manakala pasukan terakhir menyenaraikan konsep kerja berpasukan menurut Islam. Jika di dalam modul, konsep tersebut hanya membincangkan aspek-aspek kepimpinan Islam, pasukan terakhir ini membawa rakan-rakan mereka meneroka di luar kotak dengan memanjangkan huraian bagaimana kerja berpasukan juga mempunyai asas-asas dalam Islam.
Gambar ini diambil setelah ahli pasukan selesai berbincang apa yang bakal dipersembahkan.

Seterusnya dalam aktiviti berikutnya, setiap pelajar dibekalkan dengan 10 helai post-it notes kosong pelbagai dan mereka diminta untuk menulis idea baru yang unik dan kreatif bagi menjayakan lagi perancangan dan perbincangan mereka dalam minggu ke-5. Ini kerana dalam minggu ke-5, setiap pasukan diminta untuk berbincang dan bermesyuarat merancang aktiviti pasukan masing-masing yang akan dijalankan pada minggu ke 11 dan 12. 

Setelah menulis idea tersebut, masing-masing berkongsi idea yang ditulis itu dengan ahli pasukan masing-masing. Mereka diminta melekatkan post-it notes itu ke dinding-dinding ataupun ruang yang sesuai dalam bilik kuliah. Teknik ini hampir sama dengan teknik 'brainstorming' tetapi ada sedikit kelainannya. Ini kerana para pelajar diminta menyusun idea tersebut dan mengumpulkan idea yang sama ataupun hampir sama dalam bentuk aliran. Kemudian mereka berbincang mengenai idea-idea yang telah dikumpulkan. 

Teknik ini diteruskan sekali lagi dalam kuliah set 7, FEP iaitu sewaktu sesi aktiviti kedua. Namun mereka tidak dibekalkan dengan post-it notes (dah habis!!) tetapi diminta menyediakan cebisan kertas bersaiz kecil dan menulis tasks yang diminta oleh para pensyarah. 

Task pertama, mereka dikehendaki menyenaraikan sekurang-kurangnya 4 faedah yang mereka perolehi sewaktu menjalankan perbincangan secara berpasukan pada minggu sebelumnya. Umumnya faedah-faedah yang mereka senaraikan hampir menepati sebahagian poin yang terdapat dalam hal.92-93 Modul pembangunan diri yang membincangkan kelebihan dan faedah kerja berkumpulan. 

Task kedua yang mereka perlu lakukan ialah setiap pelajar (tugasan individu) menulis sebanyak-banyak idea yang menarik, kreatif, mengembirakan, selamat, pelik, unik dsb. yang boleh dilakukan sewaktu mereka melaksanakan aktiviti yang dirancang pada minggu ke 11 dan 12. Kemudian mereka dikehendaki kongsi idea dalam pasukan masing-masing. 

Kuliah telah menjadi riuh dengan gelak-ketawa mereka apabila mereka saling berkongsi idea-idea tersebut. Mereka menyusun idea mengikut urutan/aliran idea yang paling digemari/pilihan utama sehinggalah kurang diminati. Tetapi sebenarnya tidak ada idea yang kurang diminati kerana hampir semua idea yang disumbangsarakan itu menarik, pelik, lain dari yang lain, lucu dan amat kreatif. Tinggal lagi mereka benar-benar melaksanakannya kelak. Teknik sumbangsaran ini lebih dikenali sebagai 'Mind Showering' kerana semua idea yang disusun itu dikelaskan seperti air hujan yang mencurah-curah. 

Itulah antara faedah lain yang didapati apabila kita melakukan kerja secara berpasukan. Selain daripada kita dapat mencapai keputusan ataupun menyelesaikan sesuatu tugasan/masalah, minda ahli-ahli pasukan sentiasa lebih produktif, lebih gembira, bersemangat, bermotivasi dan bertenaga untuk mencapai matlamat pasukan.

Ini memang terbukti sejak dari aktiviti pertama di awal kuliah lagi, apabila setiap pelajar diminta untuk menyambung 'straw' yang dibekalkan oleh pensyarah. Walaupun diberikan berbagai-bagai arahan termasuk memegang straw yang bersambung itu dengan dua anak jari, pada kedudukan paling tinggi ataupun serendah 2 cm dari aras lantai, ahli pasukan tetap dapat melakukannya dengan baik  dan ceria walaupun tercabar dan mengalami 'kesesakan'.


Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini diselang-selikan dengan penjelasan mengenai apakah perbezaan di antara kerja berpasukan dan kerja berkumpulan, apakah teori-teori yang berkaitan dengan kerja berpasukan serta faedah-faedahnya. 

Tahniah kepada semua pelajar FPI set 17 dan FEP Set 7 kerana berjaya mempamerkan kerja dan partisipasi yang amat baik pada minggu ini!

Thursday 20 October 2011

Minggu 6 - Pelajar FEP Set 7

Salam, Selamat petang!

Bersedia untuk ke kuliah pada hari ini?
Khamis, 20 Oktober 2011
5-7 pm DK2 FEP

Wednesday 19 October 2011

Kerja Rumah: Penyelesaian Masalah Secara Islam

Assalamualaikum,

Kepada para pelajar Set 17 FPI (Isnin), anda semua diminta membaca Bab 2: Pemikiran Kritis, Penyelesaian Masalah dan Pemikiran Saintifik - berikan tumpuan kepada sub-topik Penyelesaian Masalah Menurut Islam (hal.55 - 62).

Cuba senaraikan sekurang-kurangnya 5-10 point dari modul dan tonton filem 'Dalam Mihrab Cinta'.

Ataupun anda boleh memilih movie yang lain yang sesuai - berunsurkan Islam - dalam bahasa Arab, Melayu ataupun Inggeris. 

Berdasarkan point yang disenaraikan berikan contoh-contoh babak/ataupun sebagainya dari filem tersebut yang berkaitrapat dengan pendekatan-pendekatan penyelesaian masalah menurut Islam.

Sila serahkan hasil kerja rumah ini sebelum atau pada hari Isnin - Selepas Cuti Hari Raya/Cuti Pertengahan Semester - 13hb Nov.

(Jika dibuat secara individu/dua orang boleh sediakan 2-5 points dan jika diselesaikan bersama semua ahli kumpulan boleh sediakan 10 points ataupun lebih)

Source of image: link

Minggu ke-6

Refleksi Minggu ke-4 dan ke-5

Successful teamwork requires doing lots of unspectacular little things,
constant attention to the details, building one-on-one relationships, following up on commitments and an obsessive concern for communicating information." Glenn Parker


Assalamualaikum dan Selamat Pagi!

Sejak dua minggu yang lepas, kita secara langsung dan tidak langsung telah cuba menghadam modul 3, Bab 'Kepimpinan' dan 'Kerja Berpasukan'. Pada minggu ke-4, para pelajar didedahkan dengan teori-teori kepimpinan dan pada minggu ke-5, pelajar secara praktikalnya ditugaskan merancang aktiviti dalam satu pasukan.

Jika para pelajar ingat lagi, antara aktiviti untuk mendedahkan mereka dengan teori-teori kepimpinan ialah melalui aktiviti yang diberikan dalam kuliah. Sejauhmanakah mereka boleh memahaminya, ia sebenarnya bergantung kepada pembacaan sebelum ke kuliah dan bagaimana mereka berjaya mengaplikasikan sebahagian teori tersebut dalam tugasan kumpulan masing-masing.

Para pelajar FPI set 17 telah ditugaskan membentuk 'stesen kepimpinan' masing-masing. Mereka diberikan kertas majong, marker dan juga blue tag (pelekat) untuk menampalkan kertas tersebut ke dinding bilik kuliah. Dalam satu pasukan, mereka bergerak ke stesen pasukan yang lain dan membantu mereka melengkapkan stesen maklumat kepimpinan.

Manakala para pelajar FEP set 7 diberikan tugas untuk 'mencipta' persembahan berdasarkan teori-teori kepimpinan yang diberikan. Terdapat 8 kumpulan ditugaskan untuk menggayakan kepimpinan yang pelbagai, manakala 2 kumpulan yang lain ditugaskan untuk memerhati, mengkritik dan mengemukakan soalan-soalan kepada rakan-rakan dalam kumpulan lain yang berada di pentas. 

Seterusnya dalam minggu ke-5, para pelajar mendapat tugasan untuk mengendalikan perbincangan pasukan masing-masing. Dengan dibekalkan dengan garis panduan tugasan tersebut, setiap pasukan merancang aktiviti yang mereka bakal jalankan pada minggu ke 11 dan 12. Setiap tugasan ada deadline mengikut set masing-masing.

Source of image: http://www.cybernation.com/images/success/teamwork_raft.gif

Penting bagi mereka mempamerkan sikap mengambilberat sebagai satu pasukan dan merancang aktiviti dengan kebersamaan. Ini kerana setiap hasil laporan yang dihantar mencerminkan 'budaya' kerja dalam pasukan. Apabila bekerja dalam pasukan biasanya, kesalahan, kesilapan, kelemahan ataupun ketidaksempurnaan akan dapat diatasi kerana setiap anggota kumpulan akan berusaha untuk menghasilkan kerja yang terbaik.

Penghantaran laporan rancangan aktiviti yang baik/terperinci/menepati garis panduan akan menggambarkan bahawa mereka berjaya melaksanakan tugasan yang diminta. Sebaliknya laporan aktiviti yang tidak sempurna, tidak menepati garis panduan ataupun dihantar melebihi waktu yang ditetapkan mengambarkan keseluruhan prestasi ahli kumpulan tersebut. Setiap pelajar akan dinilai dan diberikan markah samada baik ataupun sebaliknya berdasarkan laporan rancangan aktiviti yang dihantar pada tarikh yang ditetapkan dan mereka semua bertanggungjawab terhadap laporan yang dihantar kepada pensyarah.

Dalam usaha untuk menghasilkan mutu kerja yang cemerlang, pembaikan dan perbincangan dari masa ke semasa amatlah perlu. Setiap rancangan yang dihantar tidak 'statik' dan jika ada ahli pasukan berasa ia wajar diperbaiki ataupun diubah, mereka masih ada harapan untuk berbincang dengan pensyarah.


Saturday 8 October 2011

Aktiviti Minggu ke-5

Kepada semua pelajar Set 7 (FEP Khamis 5-7pm) dan 17 (FPI Isnin 4-6pm)

Sila semak email masing-masing kerana ada makluman untuk anda semua.

Anda juga diminta untuk dapatkan garis panduan untuk aktiviti minggu ke-5 dalam ruangan Discussion (SPIN).

Harap maklum. T-Kasih.

Source of image: Google image - motivational quotes

Friday 7 October 2011

Reflection Board

(sumber: PC sample picture, library)

Assalamualaikum dan Salam Ceria!

Pada minggu ini kita cuba meneroka modul kepimpinan dan cuba aplikasikan kefahaman tersebut melalui aktiviti kerja berpasukan. Salah satu cara untuk meninjau dan memahami 'erti' kepimpinan ini ialah melalui latihan praktikal. Latihan tersebut ialah melalui kerja berpasukan.

Saya akan tangguhkan terlebih dahulu memberikan refleksi mengenai aktiviti sdra/sdri pada minggu ini (set 7 dan 17). Namun saya berharap anda terus membuat refleksi apa yang anda lalui pada minggu ini dan pada minggu hadapan. Sila tulis catitan tersebut di ruangan Communication dalam SPIN. Buka ruangan Discussion Board dan lihat ada senarai topic/forum di situ. Untuk mencatit reflection (muhasabah/renungan/pengajaran/apa yang telah dipelajari) anda perlu klik untuk reply mana-mana mesej di situ. Tulislah secara ringkas dan kemudian submit. 

Melalui amalan reflection, kita bukan sahaja mempelajari pengetahuan baru dari rakan-rakan yang lain, tetapi berkongsi idea dan saranan. Biasanya daripada aktiviti refleksi kita boleh menajamkan kecekapan dalam critical thinking. Cubalah dengan menulis apa sahaja idea. Mungkin kita rasa idea kita ntah apa-apa ataupun tidak penting, kecil ataupun tidak menyumbang. Percayalah, banyak idea ataupun inovasi pada hari ini bermula dengan idea yang ntah apa-apa, kecil dan tidak diberikan perhatian. Setiap hari kita kena mulakannya. Inilah pembangunan diri kita dan kita sendiri yang mencorak dan mengawalnya. Pensyarah hanya mampu menunjuk jalan dan memberikan dorongan. 

Jumpa lagi!  

Sunday 2 October 2011

Minggu ke-4: Persediaan Kuliah

Assalamualaikum dan Selamat Petang semua! 

Saya ingin minta agar para pelajar Set 7 FEP (Hari Khamis) dan Set 17 (Hari Isnin) untuk membuat persediaan sebelum ke kuliah pada minggu ini. Diharap anda semua dapat membaca: Bab 3 Kepimpinan dan Kerja Berpasukan. 

Apabila masuk ke kuliah minggu ini pastikan anda semua sudah berkumpul dalam kumpulan masing-masing. 

'Jika pada minggu-minggu yang lalu, 
anda dan kumpulan anda hanya perlu bangun, duduk, bergerak dan beraksi dengan penuh harmoni, 
minggu ini anda mesti bersedia untuk bergerak dengan pantas .. mungkin terpaksa berlari...'  

 source: google image. motivational image - teamwork

Pages