Friday 21 October 2011

Refleksi Minggu Ke-6

Tiga 'pasukan' Siswa FPI set 17 membuka tirai minggu ke 6 dengan persembahan pasukan masing-masing. Pasukan pertama, membawa ketokohan dua pemimpin yang karismatik (juga kontemporan dan juga transformasi) dengan membuat perbandingan dari sudut persamaan dan kelainan di antara mereka. Pasukan berikutnya membawa rakan-rakan mereka ke padang bola sepak dengan menerangkan bagaimana satu pasukan bola sepak bergerak dalam satu pasukan manakala pasukan terakhir menyenaraikan konsep kerja berpasukan menurut Islam. Jika di dalam modul, konsep tersebut hanya membincangkan aspek-aspek kepimpinan Islam, pasukan terakhir ini membawa rakan-rakan mereka meneroka di luar kotak dengan memanjangkan huraian bagaimana kerja berpasukan juga mempunyai asas-asas dalam Islam.
Gambar ini diambil setelah ahli pasukan selesai berbincang apa yang bakal dipersembahkan.

Seterusnya dalam aktiviti berikutnya, setiap pelajar dibekalkan dengan 10 helai post-it notes kosong pelbagai dan mereka diminta untuk menulis idea baru yang unik dan kreatif bagi menjayakan lagi perancangan dan perbincangan mereka dalam minggu ke-5. Ini kerana dalam minggu ke-5, setiap pasukan diminta untuk berbincang dan bermesyuarat merancang aktiviti pasukan masing-masing yang akan dijalankan pada minggu ke 11 dan 12. 

Setelah menulis idea tersebut, masing-masing berkongsi idea yang ditulis itu dengan ahli pasukan masing-masing. Mereka diminta melekatkan post-it notes itu ke dinding-dinding ataupun ruang yang sesuai dalam bilik kuliah. Teknik ini hampir sama dengan teknik 'brainstorming' tetapi ada sedikit kelainannya. Ini kerana para pelajar diminta menyusun idea tersebut dan mengumpulkan idea yang sama ataupun hampir sama dalam bentuk aliran. Kemudian mereka berbincang mengenai idea-idea yang telah dikumpulkan. 

Teknik ini diteruskan sekali lagi dalam kuliah set 7, FEP iaitu sewaktu sesi aktiviti kedua. Namun mereka tidak dibekalkan dengan post-it notes (dah habis!!) tetapi diminta menyediakan cebisan kertas bersaiz kecil dan menulis tasks yang diminta oleh para pensyarah. 

Task pertama, mereka dikehendaki menyenaraikan sekurang-kurangnya 4 faedah yang mereka perolehi sewaktu menjalankan perbincangan secara berpasukan pada minggu sebelumnya. Umumnya faedah-faedah yang mereka senaraikan hampir menepati sebahagian poin yang terdapat dalam hal.92-93 Modul pembangunan diri yang membincangkan kelebihan dan faedah kerja berkumpulan. 

Task kedua yang mereka perlu lakukan ialah setiap pelajar (tugasan individu) menulis sebanyak-banyak idea yang menarik, kreatif, mengembirakan, selamat, pelik, unik dsb. yang boleh dilakukan sewaktu mereka melaksanakan aktiviti yang dirancang pada minggu ke 11 dan 12. Kemudian mereka dikehendaki kongsi idea dalam pasukan masing-masing. 

Kuliah telah menjadi riuh dengan gelak-ketawa mereka apabila mereka saling berkongsi idea-idea tersebut. Mereka menyusun idea mengikut urutan/aliran idea yang paling digemari/pilihan utama sehinggalah kurang diminati. Tetapi sebenarnya tidak ada idea yang kurang diminati kerana hampir semua idea yang disumbangsarakan itu menarik, pelik, lain dari yang lain, lucu dan amat kreatif. Tinggal lagi mereka benar-benar melaksanakannya kelak. Teknik sumbangsaran ini lebih dikenali sebagai 'Mind Showering' kerana semua idea yang disusun itu dikelaskan seperti air hujan yang mencurah-curah. 

Itulah antara faedah lain yang didapati apabila kita melakukan kerja secara berpasukan. Selain daripada kita dapat mencapai keputusan ataupun menyelesaikan sesuatu tugasan/masalah, minda ahli-ahli pasukan sentiasa lebih produktif, lebih gembira, bersemangat, bermotivasi dan bertenaga untuk mencapai matlamat pasukan.

Ini memang terbukti sejak dari aktiviti pertama di awal kuliah lagi, apabila setiap pelajar diminta untuk menyambung 'straw' yang dibekalkan oleh pensyarah. Walaupun diberikan berbagai-bagai arahan termasuk memegang straw yang bersambung itu dengan dua anak jari, pada kedudukan paling tinggi ataupun serendah 2 cm dari aras lantai, ahli pasukan tetap dapat melakukannya dengan baik  dan ceria walaupun tercabar dan mengalami 'kesesakan'.


Aktiviti-aktiviti yang dijalankan ini diselang-selikan dengan penjelasan mengenai apakah perbezaan di antara kerja berpasukan dan kerja berkumpulan, apakah teori-teori yang berkaitan dengan kerja berpasukan serta faedah-faedahnya. 

Tahniah kepada semua pelajar FPI set 17 dan FEP Set 7 kerana berjaya mempamerkan kerja dan partisipasi yang amat baik pada minggu ini!

No comments:

Post a Comment

Pages