Wednesday 2 November 2011

Refleksi Minggu Ke-7


Saya imbas kembali apa yang dikongsi pada minggu lepas.

Dua video yang dipaparkan telah menghangatkan suasana di awal kuliah. Masihkah ingat pada iklan 'shampoo rambut that can never be yours'? juga kisah kanak-kanak yang disangka ada masalah rupanya seorang yang terlalu kreatif? Saya rasa semua masih ingat lagi!

Perkara yang diingati ialah semua respon-respon pantas daripada para pelajar sewaktu tayangan video itu dihentikan beberapa kali. Namun yang paling saya ingati ialah gamatnya kuliah dengan suara dan gelak ketawa anda, para pelajar semua apabila melihat pemilik sebenar 'rambut' yang ditayangkan!

Dalam kuliah di FPI pada Isnin 24/10 sebelum kita mulakan aktiviti debat. Ada sesi kuiz ringkas dilontarkan. Beberapa soalan untuk menguji pembacaan dan kefahaman pelajar untuk Bab 2 telah diberikan. Mereka yang cepat dan berjaya menjawab dengan tepat mendapat hadiah sebatang pen. Jika tidak silap saya ada seorang pelajar lelaki telah mendapat dua batang pen kerana berjaya menjawab dua kali dengan tepat. 

Empat kumpulan (2 pasukan siswi dan 2 pasukan siswa) telah beraksi berhujah secara kritis tajuk 'Facebook Membawa Keburukan Daripada Kebaikan'. Dapat dilihat dari usaha dan persedian pembahas dan kumpulan mereka, bagaimana mereka telah mengumpul data untuk perbahasan. Tajuk ini telah diberikan sejak minggu ke-6 lagi.

Sementara kumpulan pembahas ini bersedia, para pelajar lain yang menjadi penonton diminta untuk menyediakan nota kecil dan menulis sekurang-kurangnya 10 idea mereka tentang topik yang bakal dibahaskan. Jika anda boleh kaitkan usaha tersebut, ia sebenarnya usaha di peringkat 'gathering' dalam struktur bagaimana kita membina pemikiran kritis. Sila lihat gambarajah -Building Critical Thinking - dalam modul pada mukasurat 39.

Di peringkat pertama kita mengumpulkan data, kita mulakan dengan 'menyatakan idea', 'mengingat kembali pengetahuan yang sedia ada', menyebut, menamakan, menggambarkan dsb.

Kemudian di peringkat kedua - processing -  dalam membina pemikiran kritis dan memproses maklumat, kita libatkan aktiviti seperti menganalisa maklumat, menerangkan sebab, membuat klasifikasi dan perbandingan, memberikan hujah dsb. Peringkat ini paling ketara sewaktu berlangsungnya debat tajuk di atas.

Peringkat ketiga - applying - kita mula menilai maklumat dan idea, memberikan justifikasi, membuat andaian dan cuba mengetengahkan kesimpulan. Pemikiran logik digunakan di peringkat ini untuk memperteguhkan hujah dan idea yang telah dibuat sebelum ini. Di peringkat ini juga, idea yang bercanggah dipertahankan oleh para pendebat samada melalui membuat kesimpulan berdasarkan logik deduktif (kesimpulan daripada yang umum kepada khusus) ataupun induktif (menyatakan kesimpulan daripada yang perkara khusus kepada umum).

Dalam kuliah di FEP 27/10, untuk melenyapkan kepenatan berbengkel seharian di IOI garden di Putrajaya, saya mulakan kuliah dengan pertanyaan demi pertanyaan.

Apa yang kita boleh buat dengan coklat? Bagaimana jika semua manusia tiada rambut? Bagaimana jika kasut tak diciptakan? Pelbagai jawapan pelik lagi lucu diberikan oleh pelajar termasuklah 'penjualan cermin mata hitam jadi amat laris kerana nak elak sinaran mengilaukan dari kulit kepala'! 

Sekali lagi tayangan video kesukaan saya ditayangkan. Ruang kuliah yang malap menjadi gempar dengan gelak ketawa pelajar apabila mereka melihat 'pemilik' rambut shampoo. Puas mereka memerah idea untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan sewaktu tayangan video itu dihentikan.

Tumpuan kuliah di FEP berkisar tentang kemahiran penyelesaian masalah. Seperti yang dijelaskan oleh Edward de Bono - Salah satu kemahiran menyelesaikan masalah ialah dengan cara mengelak masalah. Seseorang boleh pergi ke awal/penghujung dan mengubahnya untuk mengelak ia berlaku / berulang pada tempat yang sama. (Modul - Bab 2, m.s 45)

Antara teknik yang boleh digunakan ialah dengan mengaplikasikan S W O T. Dalam kuliah tersebut, para pelajar dilatih membuat analisa SWOT. Sebagai aktivitinya, mereka dikehendaki merujuk kembali kepada tugasan pada minggu ke-5 di mana mereka dikehendaki membuat rancangan aktiviti berkumpulan. Berdasarkan rancangan tersebut, mereka diminta menulis kembali sekurang-kurangnya dua objektif mereka dan menyediakan sehelai kertas bersaiz A4. Mereka perlu sediakan 4 petak SWOT dan mengisinya.

Tahukah anda:
Antara Petua ketiga kejayaan Mendiang Steve Job ialah mengaplikasikan SWOT.
Daripada aktiviti ini, para pelajar bukan sahaja memerah dan mengumpulkan idea tetapi mereka berusaha meninjau kebolehan dan kekuatan yang mereka ada. 

Mereka juga dilatih untuk berfikir tentang kelemahan mereka dan bagaimana kekuatan yang mereka ada boleh mengatasi kelemahan. Di sini sebenarnya kita dilatih untuk memecahkan tugasan/masalah kepada permasalahan-permasalahan yang lebih kecil (sub-problems) dengan harapan kita dapat menyelesaikan ataupun mencari pilihan penyelesaian dengan lebih terperinci. Dalam proses menyelesaikan masalah/tugasan, memahami masalah ataupun tugasan itu amatlah penting.

Seterusnya, dari sini juga kita dapat menyenaraikan apakah potensi, idea alternatif dan meneroka pilihan-pilihan baru.

Dalam SWOT terdapat ancaman luar yang kadang-kala tidak boleh dielakkan seperti berlaku malapetaka seperti tanah runtuh, hujan lebat, wabak penyakit dsb. Ancaman ini perlu diberikan perhatian oleh para perancang aktiviti bagi mengelak perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Dengan menggunakan teknik SWOT kita boleh merancang, mengandaikan serta membuat beberapa perubahan ke arah yang lebih baik lagi.

Saya berharap setiap aktiviti yang dijalankan pada minggu ke-7 ini dapat memberikan faedah kepada semua pelajar. Latihan secara langsung dan tidak langsung penting dalam pembangunan diri kita. Oleh itu setiap teknik yang dipelajari ini harapnya dapat dilaksanakan untuk aktiviti-aktiviti/penyelesaian tugas/masalah para pelajar pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Pages