Monday, 14 November 2011

Deadline Kerja Rumah

Saya telah terima kerja-kerja rumah para pelajar Set 7 dan 17 sejak minggu lepas dan menjangka akan terus terima tugasan tersebut sehingga hari ini. 

Tugasan
FPI - Mihrab Cinta - Penyelesaian Masalah Menurut Islam
FEP - Refleksi - 3 Idiots

Selamat Kembali ke Kampus!

Sunday, 13 November 2011

Minggu ke-9 - Set 17 FPI - Isnin 14 November 4-6pm

Tugasan - Setiap kumpulan dikehendaki membuat perbincangan dalam kumpulan masing-masing.

Lantik seorang pencatit untuk mencatit perbincangan kumpulan dan menyenaraikan kehadiran ahli. (seboleh-bolehnya terus ditaip perbincangan sewaktu berlangsung pertemuan)

Setiap ahli mesti memberikan fokus kepada : Objektif 1-3 (Hal 101) . 

Sebagai garis panduan untuk perbincangan:

Para pelajar bolehlah mengikuti panduan di bawah.

1) Bincangkan isi penting mengenai:

a) Kepentingan Kemahiran Pengurusan Maklumat
b) Konsep Literasi Maklumat
c) Kaedah Memperolehi maklumat 
d) Aplikasi Kemahiran 

2) Berdasarkan pengalaman dan teknik-teknik yang pernah dipelajari, senaraikan kaedah/teknik yang pernah digunakan/dipelajari untuk mendapatkan maklumat. 
3) Bincangkan sumber-sumber maklumat/pengetahuan yang biasa digunakan. 

4) Di akhir perbincangan, para pelajar dikehendaki membina 4 soalan berkenaan topik di atas dan menyediakan jawapannya. Sila hantar soalan-soalan ini beserta jawapannya, bersama laporan perbincangan.

Ringkasan laporan pertemuan dan perbincangan di atas perlu dihantar kepada pensyarah  selewat-lewatnya pada 15 November 2011.



Refleksi Minggu ke-8

Apakah yang dilakukan oleh para pelajar set 17 dan 7 pada minggu ke 8 iaitu minggu terakhir sebelum cuti mid-term bermula? 

Pelajar FPI set 17 telah menjalani kuiz secara berkumpulan. Soalan-soalan yang dikemukakan berkisar tajuk-tajuk dan aplikasi bagi modul Pemikiran Kritis, Kreatif dan Penyelesaian Masalah. 

Manakala setiap pelajar FEP perlu menulis refleksi secara kendiri mengenai sebuah film (3 idiots). Penulisan refleksi merupakan salah satu latihan Pemikiran Kritis dan mereka diberikan seminggu untuk menyiapkannya. 

Kedua-dua tugasan di atas termasuk dalam pemarkahan - untuk penilaian berterusan. 

Selamat hari raya!

Wednesday, 2 November 2011

Refleksi Minggu Ke-7


Saya imbas kembali apa yang dikongsi pada minggu lepas.

Dua video yang dipaparkan telah menghangatkan suasana di awal kuliah. Masihkah ingat pada iklan 'shampoo rambut that can never be yours'? juga kisah kanak-kanak yang disangka ada masalah rupanya seorang yang terlalu kreatif? Saya rasa semua masih ingat lagi!

Perkara yang diingati ialah semua respon-respon pantas daripada para pelajar sewaktu tayangan video itu dihentikan beberapa kali. Namun yang paling saya ingati ialah gamatnya kuliah dengan suara dan gelak ketawa anda, para pelajar semua apabila melihat pemilik sebenar 'rambut' yang ditayangkan!

Dalam kuliah di FPI pada Isnin 24/10 sebelum kita mulakan aktiviti debat. Ada sesi kuiz ringkas dilontarkan. Beberapa soalan untuk menguji pembacaan dan kefahaman pelajar untuk Bab 2 telah diberikan. Mereka yang cepat dan berjaya menjawab dengan tepat mendapat hadiah sebatang pen. Jika tidak silap saya ada seorang pelajar lelaki telah mendapat dua batang pen kerana berjaya menjawab dua kali dengan tepat. 

Empat kumpulan (2 pasukan siswi dan 2 pasukan siswa) telah beraksi berhujah secara kritis tajuk 'Facebook Membawa Keburukan Daripada Kebaikan'. Dapat dilihat dari usaha dan persedian pembahas dan kumpulan mereka, bagaimana mereka telah mengumpul data untuk perbahasan. Tajuk ini telah diberikan sejak minggu ke-6 lagi.

Sementara kumpulan pembahas ini bersedia, para pelajar lain yang menjadi penonton diminta untuk menyediakan nota kecil dan menulis sekurang-kurangnya 10 idea mereka tentang topik yang bakal dibahaskan. Jika anda boleh kaitkan usaha tersebut, ia sebenarnya usaha di peringkat 'gathering' dalam struktur bagaimana kita membina pemikiran kritis. Sila lihat gambarajah -Building Critical Thinking - dalam modul pada mukasurat 39.

Di peringkat pertama kita mengumpulkan data, kita mulakan dengan 'menyatakan idea', 'mengingat kembali pengetahuan yang sedia ada', menyebut, menamakan, menggambarkan dsb.

Kemudian di peringkat kedua - processing -  dalam membina pemikiran kritis dan memproses maklumat, kita libatkan aktiviti seperti menganalisa maklumat, menerangkan sebab, membuat klasifikasi dan perbandingan, memberikan hujah dsb. Peringkat ini paling ketara sewaktu berlangsungnya debat tajuk di atas.

Peringkat ketiga - applying - kita mula menilai maklumat dan idea, memberikan justifikasi, membuat andaian dan cuba mengetengahkan kesimpulan. Pemikiran logik digunakan di peringkat ini untuk memperteguhkan hujah dan idea yang telah dibuat sebelum ini. Di peringkat ini juga, idea yang bercanggah dipertahankan oleh para pendebat samada melalui membuat kesimpulan berdasarkan logik deduktif (kesimpulan daripada yang umum kepada khusus) ataupun induktif (menyatakan kesimpulan daripada yang perkara khusus kepada umum).

Dalam kuliah di FEP 27/10, untuk melenyapkan kepenatan berbengkel seharian di IOI garden di Putrajaya, saya mulakan kuliah dengan pertanyaan demi pertanyaan.

Apa yang kita boleh buat dengan coklat? Bagaimana jika semua manusia tiada rambut? Bagaimana jika kasut tak diciptakan? Pelbagai jawapan pelik lagi lucu diberikan oleh pelajar termasuklah 'penjualan cermin mata hitam jadi amat laris kerana nak elak sinaran mengilaukan dari kulit kepala'! 

Sekali lagi tayangan video kesukaan saya ditayangkan. Ruang kuliah yang malap menjadi gempar dengan gelak ketawa pelajar apabila mereka melihat 'pemilik' rambut shampoo. Puas mereka memerah idea untuk menjawab soalan-soalan yang dikemukakan sewaktu tayangan video itu dihentikan.

Tumpuan kuliah di FEP berkisar tentang kemahiran penyelesaian masalah. Seperti yang dijelaskan oleh Edward de Bono - Salah satu kemahiran menyelesaikan masalah ialah dengan cara mengelak masalah. Seseorang boleh pergi ke awal/penghujung dan mengubahnya untuk mengelak ia berlaku / berulang pada tempat yang sama. (Modul - Bab 2, m.s 45)

Antara teknik yang boleh digunakan ialah dengan mengaplikasikan S W O T. Dalam kuliah tersebut, para pelajar dilatih membuat analisa SWOT. Sebagai aktivitinya, mereka dikehendaki merujuk kembali kepada tugasan pada minggu ke-5 di mana mereka dikehendaki membuat rancangan aktiviti berkumpulan. Berdasarkan rancangan tersebut, mereka diminta menulis kembali sekurang-kurangnya dua objektif mereka dan menyediakan sehelai kertas bersaiz A4. Mereka perlu sediakan 4 petak SWOT dan mengisinya.

Tahukah anda:
Antara Petua ketiga kejayaan Mendiang Steve Job ialah mengaplikasikan SWOT.
Daripada aktiviti ini, para pelajar bukan sahaja memerah dan mengumpulkan idea tetapi mereka berusaha meninjau kebolehan dan kekuatan yang mereka ada. 

Mereka juga dilatih untuk berfikir tentang kelemahan mereka dan bagaimana kekuatan yang mereka ada boleh mengatasi kelemahan. Di sini sebenarnya kita dilatih untuk memecahkan tugasan/masalah kepada permasalahan-permasalahan yang lebih kecil (sub-problems) dengan harapan kita dapat menyelesaikan ataupun mencari pilihan penyelesaian dengan lebih terperinci. Dalam proses menyelesaikan masalah/tugasan, memahami masalah ataupun tugasan itu amatlah penting.

Seterusnya, dari sini juga kita dapat menyenaraikan apakah potensi, idea alternatif dan meneroka pilihan-pilihan baru.

Dalam SWOT terdapat ancaman luar yang kadang-kala tidak boleh dielakkan seperti berlaku malapetaka seperti tanah runtuh, hujan lebat, wabak penyakit dsb. Ancaman ini perlu diberikan perhatian oleh para perancang aktiviti bagi mengelak perkara yang tidak diingini dari berlaku.

Dengan menggunakan teknik SWOT kita boleh merancang, mengandaikan serta membuat beberapa perubahan ke arah yang lebih baik lagi.

Saya berharap setiap aktiviti yang dijalankan pada minggu ke-7 ini dapat memberikan faedah kepada semua pelajar. Latihan secara langsung dan tidak langsung penting dalam pembangunan diri kita. Oleh itu setiap teknik yang dipelajari ini harapnya dapat dilaksanakan untuk aktiviti-aktiviti/penyelesaian tugas/masalah para pelajar pada masa depan.

Tuesday, 1 November 2011

Prinsip Kepimpinan Menurut Perspektif Islam

Berikut ialah video (ada 12 siri kesemuanya) yang amat menarik dihasilkan di US hasil pandangan Muslim dan bukan Muslim mengenai peribadi dan kepimpinan Muhammad bin Abdullah s.a.w.

Untuk lebih menghayati video ini bacalah modul bermula dari m.s 81-82 kemudian hubungkan kefahaman anda dengan info-info yang ditonton.

Secara peribadinya, saya menganggap video ini antara yang terbaik pernah dihasilkan untuk menjelaskan konsep Islam dan Kepimpinan. Bahkan ia dihasilkan setelah meletusnya peristiwa 9/11 yang meletakkan Islam sebagai 'spotlight' di mata media dan dunia.

Sambil menonton juga anda boleh cuba mengaitkan kepimpinan Nabi Muhammad dengan teori-teori kepimpinan yang telah dipelajari.

Selamat Menonton!

Saturday, 29 October 2011

Garis Panduan Penyediaan Laporan

Assalamualaikum / Selamat Pagi

Source of poster: link

Untuk makluman pelajar semua (Set 7 dan 17), garis panduan untuk dipatuhi dalam penyediaan laporan aktiviti telahpun dimuatnaik ke SPIN.

Sila rujuk pada ruangan Communication dan klik pada bahagian Discussion. Dapatkan Garis Panduan tersebut dalam senarai topik Minggu ke 7 Garis Panduan.

Terdapat dua dokumen disediakan iaitu dalam bentuk microsoft word dan pdf. Sila baca dengan teliti dan cuba fahaminya dengan baik. Jika ada apa jua persoalan/masalah untuk mendapatkan garis panduan tersebut dari SPIN bolehlah hubungi pensyarah dengan segera.

Sila maklumkan mengenai garis panduan ini kepada ahli-ahli pasukan masing-masing.

Sekian, terima kasih.

Friday, 28 October 2011

Set 7 - FEP - Aktiviti Minggu Ke-8


Hanya untuk pelajar set 7 - FEP 

Anda dikehendaki menonton filem 3 idiots, sebuah filem yang mengisahkan dunia pengajian pelajar di sebuah universiti ternama. 

Sebagai tugasannya ialah, setelah menontonnya sehingga selesai anda dikehendaki menulis refleksi sekurang-kurangnya 200 patah perkataan, (ditaip) mengenai filem berkenaan dan apakah yang anda rasai/fikirkan setelah menontonnya. Sewaktu membuat refleksi ini kaitkan dengan konsep pembelajaran sepanjang hayat dan ciri-ciri seorang life-long learner yang punya self-motivation dan self-direction. 

Kaitkan dengan diri anda sebagai seorang pelajar universiti! (penting)

Sebagai panduan untuk menulis refleksi - anda perlulah memasukkan semua elemen berikut dalam deskripsi (description) anda.  

1) Penerangan ringkas mengenai filem tersebut. 
2) Penerangan ringkas mengenai apakah yang anda ataupun rakan-rakan anda rasai setelah menonton filem berkenaan. 
3) Pandangan anda secara kritikal terhadap filem tersebut dengan mengaitkannya dengan dunia universiti dan pelajar. 
4) Anda dikehendaki mensintesis dan membuat pertimbangan di antara perkara-perkara yang anda dapati / tonton. 
5) Rumusan, apakah yang anda telah pelajari lain dari yang lain melalui filem berkenaan. 

Bagi pelajar yang kurang berminat denga filem di atas, saya cadangkan filem Dead Poet Society sebagai pilihan lain.

Tugasan - Individu 
Sila tulis nama (no matrik dan no.telefon) hantar ke email pensyarah. 

Deadline - 14 November 2011 - sebelum jam 11.00 pagi. (hantar awal digalakkan) 

Thursday, 27 October 2011

S-M-A-R-T

'Goal Setting' / menetapkan matlamat yang ingin dicapai merupakan satu perkara yang penting apabila kita membuat rancangan untuk menjalankan sesuatu aktiviti bersendirian dan berpasukan. 

Terdapat banyak teknik dalam membuat objektif ataupun matlamat bagi sesuatu aktiviti. Antara teknik yang mudah diikuti ialah S-M-A-R-T Technique. Apakah itu Teknik SMART? 
Pada hari ini sekali lagi anda sepasukan berbincang semasa pasukan mengenai apakah objektif yang pasukan anda ingin capai daripada aktiviti dan dari sini anda perlu menulis satu-persatu langkah-langkah yang sesuai untuk menjayakan objektif berkenaan. 

Saya dapati hampir semua pasukan pelajar Set 7 menulis objektif aktiviti mereka dalam bentuk umum. Oleh itu, langkah-langkah yang mereka susun untuk mencapai objektif itu juga menjadi umum. 

Dengan teknik SMART, pasukan anda akan memperolehi matlamat pasukan yang lebih terperinci dan praktikal. Dari sini jugalah, langkah-langkah yang lebih terperinci akan diatur bahkan anda akan dapati bahawa kumpulan anda boleh membuat pembahagian kerja dengan sempurna dan melibatkan semua anggota. 

Mari lihat video ini dan kemudian bandingkan dengan objektif yang telah kumpulan anda tulis. Walaupun teknik yang diperkenalkan dalam video ini menggunakan contoh berkaitan dengan dunia pasaran dan perniagaan, ia masih boleh diserasikan dengan aktiviti-aktiviti lain. Seperti aktiviti yang telah dirancang oleh para pelajar pada minggu ke-5.


Selamat belajar!

Tuesday, 25 October 2011

SWOT Analysis

Apakah itu SWOT Analysis?

SWOT Analysis merupakan salah satu langkah dalam membuat sesuatu keputusan. Ia melihat kepada empat medan iaitu S - W - O - T iaitu kependekan kepada Strengths (Kekuatan yang dimiliki oleh individu/organisasi) , Weaknesses (Kelemahan yang didapati pada diri individu/organisasi), Opportunities (peluang-peluang yang positif) dan Threats (mara bahaya ataupun keadaan yang negatif yang boleh memberikan risiko kepada diri dan organisasi apabila sesuatu keputusan itu diambil/tidak diambil)

Teknik ini tidak hanya digunakan dalam dunia ekonomi dan perniagaan. Ia boleh digunakan dalam pelbagai situasi apabila kita ingin membuat keputusan. Hatta dalam menjalankan aktiviti kecil seperti bermain bola di waktu petang. Dengan menggunakan teknik ini kita dapat merancang dengan lebih awal apakah langkah ataupun strategi yang berkesan dan alternatif sekiranya sesuatu keputusan itu ingin diteruskan.

Ambil contoh perancangan aktiviti pelajar yang telah dirancang pada minggu ke-5 yang lepas. Ketika kita membuat perbincangan memilih aktiviti dan ingin meneruskannya, perancangan aktiviti kita untuk minggu ke 11 dan 12 kelak akan lebih mantap jika kita cuba membuat SWOT Analysis. Bagaimanakah caranya?

Pertama - Sila tonton video ini:

Kedua - Sila dapatkan kertas bersaiz A4 dan buat 4 petak. Kemudian cuba isi petak-petak tersebut mengambil kira kekuatan (strengths) dan kelemahan (weaknesses) dalaman yang kita ada. Kemudian isikan pula peluang-peluang (opportunities) dan cabaran/masalah luaran (threats) yang kita tidak dapat kawal. 

File:SWOT en.svg
Source: link

Kemudian kita membuat perbandingan di antara petak-petak S W O T. Kita perlu lihat apakah kekuatan yang kita miliki boleh mengatasi 'threats' jika ia terjadi. Apakah peluang-peluang yang kita ada dengan adanya sedikit kekuatan tetapi banyak kelemahan. 

Contohnya, jika kita merancang bermain bola sepak dengan kekuatan pemain yang ada dan ramai, tetapi hari yang berlangsung hujan lebat. Apakah ada peluang lain yang boleh kita fikirkan seperti mengadakan permainan futsal di ruang tertutup? Jika kita merancang untuk menonton filem/wayang tertentu, bagaimana sekiranya pada hari tersebut filem yang kita ingin tonton tidak ditayangkan ataupun tidak dijumpai. Apakah ada peluang/ back-up alternatif lain yang kita boleh fikirkan.

Kaedah SWOT ini merupakan salah satu plan strategik yang boleh kita gunakan untuk mengelak ataupun mengurangkan masalah ataupun risiko lebih awal apabila sesuatu keputusan peribadi ataupun pasukan ingin diambil. Dengan mengambil langkah ini perancangan aktiviti akan lebih mantap, mencapai objektif dan kita akan dapat sediakan back-up plans (payung sebelum hujan) jika berlaku 'threats' yang tidak dapat dielak kelak.

                  'Mengelak masalah adalah perkara penting dalam penyelesaian masalah'
                   Edward de Bono. (Bab 2 Pemikiran Kritis, Penyelesaian Masalah dan Pemikiran Saintifik.
                   Modul Pembangunan Diri.  Hal.45)

Selamat Mencuba!!

Monday, 24 October 2011

Kemahiran Mencari Solusi

Problem Solving Skill/Technique sering diterjemahkan kepada kemahiran ataupun kecekapan dalam 'Menyelesaikan Masalah' (tugas ataupun urusan).

Perkataan 'Masalah' ini biasanya membawa maksud yang negatif dalam konteks bahasa melayu.

Tahukah anda, sebenarnya ramai orang mendapat faedah daripada 'masalah'. Dalam konteks ini, 'masalah' bukan lagi sesuatu yang negatif tetapi positif dan banyak menguntungkan beberapa pihak yang kritis, kreatif dan inovatif. Shampoo rambut sebagai contohnya. Shampoo yang pelbagai telah dicipta dan dipasarkan untuk menangani 'masalah' kulit kepala - kegatalan, kekeringan, rambut gugur dsb.

Sebenarnya saya lebih gemar menukar terjemahan kepada kemahiran ini kepada Kemahiran Mencari Solusi.  

Di sini kita membentuk pemikiran kita supaya tidak menumpu kepada 'masalah ataupun problem' tetapi lebih melihat kepada solusi (solution) ataupun apakah langkah-langkah yang mesti dilakukan untuk mengurang, menyelesai ataupun mengatasinya.

Boleh jadi video di bawah berguna sebagai salah satu bahan rujukan.

(Sila mute/ perlahankan muzik jika tidak suka kepada muzik latarnya!)


Happy watching indeed!

Pages