Friday 30 September 2011

Minggu ke-3: Apa Dah Jadi?

Minggu ini berlaku peningkatan dalam jumlah pelajar bagi kedua-dua set. Para pelajar sendiri tentu menyedari kehadiran rakan baru yang telah menganggotai kumpulan yang sedia ada ataupun kemunculan kumpulan baru yang telah mewarnai pentas kuliah pada minggu ini.
Fokus kuliah pada minggu ini bagi kedua-dua Set ialah kepada Komunikasi Awam, Penggunaan Laras Bahasa, Halangan Komunikasi, serta Aspek Keberkesanan Berkomunikasi. 

Pelajar set 17 mendapat sedikit kerja rumah pada minggu kedua. Saya telah meminta mereka untuk mencari 10 kata-kata hikmah, ayat al-Quran ataupun Hadith berkaitan dengan pembangunan Diri. Tujuannya supaya mereka mencari, mengumpul, kemudian mempersembahkannya dalam bentuk visual (poster presentation) dan lisan. Saya dapati pelajar saya ini memang rajin. Agaknya mereka memang suka kepada kerja rumah. Kerajinan yang membanggakan. Mereka tidak hanya bawa 10 tetapi lebih 20 slides powerpoint yang kemudiannya diubah dalam bentuk poster (JPEG). Setakat ini jumlah slides yang dihimpunkan hampir 70. Hanya satu kumpulan yang dipanggil untuk tampil membentangkan hasil kerja mereka. Kita akan cari peluang untuk hasilkan sesuatu yang bakal melibatkan semua kumpulan pada minggu akan datang yang lebih fokus kepada kecekapan/kemahiran untuk melatih kreativiti dan inovasi kelak. (Pemikiran Kritis, Kreatif dan Saintifik)

Sesi berikutnya kita sambung dengan 3 orang pelajar yang terpilih untuk menyampaikan ucapan 'ekstemporan' selama 1 minit. Sesi One-Minute Islam Session hanya memberi ruang kepada tiga orang pelajar ini memperaktikan ucapan awam yang bersifat informatif. Sesi ini tidak mengambil masa yang panjang. Ini kerana kita ada acara 'sambutan' pelajar baru yang baru sahaja mendaftar dalam set 17. Kumpulan pelajar baru ini (siswa kesemuanya) diberikan tugasan spontan dan mereka dikehendaki membuat satu persembahan Forum bertajuk - Ustazah Pilihan: Pro dan Kontra. Saya dapati ahli kumpulan ini berjaya membuat pengagihan kerja kumpulan dengan pantas. Mereka berjaya memilih 3 orang panelis di kalangan mereka, seorang pengerusi forum, seorang pengerusi majlis tetap dan dua lagi rakan mereka ditugaskan menjadi audien yang bakal bertanyakan soalan kepada panelis. 

Penggunaan laras biasa/umum dan laras agama dalam pengucapan mereka amat ketara sesuai dengan latarbelakang mereka sebagai pelajar pengajian Islam. Apa yang menarik di samping ucapan spontan panelis ialah sambutan dan reaksi yang ditunjukkan oleh pelajar lain bukan ahli kumpulan. Selain mendengar dengan teliti and atentif, mereka ambil bahagian dengan kemukakan soalan, menganggukkan kepala tanda setuju, tidak melakukan aktiviti lain kecuali mendengar dan memberikan perhatian dan sekaligus 'menunjukkan' isu yang dibincangkan menarik perhatian mereka. Tiba-tiba sahaja seperti kata-kata dari pengerusi forum Forum hari itu telah jadi acara perbincangan yang serius.

Saya percaya, perbincangan forum tersebut tidak berhenti dengan tamatnya kuliah pada hari tersebut. Tahniah kepada ahli kumpulan tersebut kerana berjaya menghasilkan satu perbincangan yang menarik.

Bagaimana dengan kuliah Set 7? Walaupun fokus kuliah bagi kedua set ini sama namun aktiviti yang dijalankan  oleh pelajar ada sedikit perbezaan. Pada asalnya kuliah akan dibahagikan kepada dua bahagian. Sebahagian  (Kumpulan 6-10) yang akan membuat persembahan dan kumpulan 1-5 akan berada di dalam bilik kuliah untuk menjalankan aktiviti berdasarkan modul. Akan tetapi atas permintaan ramai, mereka semua mahu aktiviti berdasarkan senario dan persembahan. 

Pensyarah tidak sampai hati untuk menolak permintaan mereka. Maka kumpulan-kumpulan tersebut diberikan dengan soalan-soalan yang telah disediakan. 10 Kumpulan masing-masing mendapat soalan. mereka. Kumpulan 1 dan 6 diminta melakonkan kembali babak video tugasan kemahiran komunikasi dengan membuat penambahan watak-watak baru dan menunjukkan bagaimana cara berkomunikasi dengan baik dan berkesan.

Kumpulan 2 dan 7 dikehendaki mempromosikan KASUT jenama baru dengan menggabungkan bentuk pengucapan awam informatif dan persuasif. Manakala kumpulan berikutnya dikehendaki berkempen dan mempromosikan salah seorang ahli mereka secara pengucapan persuasif agar dilantik menjadi ketua kelas bagi kuliah ini. 

Pelbagai aksi, gaya dan komunikasi verbal dan non-verbal digunakan oleh kumpulan ini untuk mempromosi calon-calon mereka. Tidak kurang juga beberapa janji manis ditaburkan oleh para calon mencuit hati semua. (termasuklah pemberian buku Modul Pembangunan Diri percuma kepada semua, lawatan ke US dan Disneyland Hongkong, belanja makan selepas kuliah, dsb.) Persembahan mereka diselang-selikan dengan ulasan dan tayangan video secara ringkas.  

Sayangnya puan pensyarah tidak membawa kamera pada minggu ini untuk merakam setiap aktiviti yang dijalankan. Semoga hasil persembahan dan pengajaran daripadanya terakam dalam minda dan hati semua pelajar! 

Contoh ucapan awam persuasif 

Contoh penggunaan laras bahasa biasa dan ilmiah 

Kadang-kala ada orang mampu berkomunikasi dengan kita lebih dari kemampuan fizikal mereka!


Jumpa lagi!



Wednesday 28 September 2011

Minggu ke-2: Hasil Aktiviti Kumpulan. Set 7 FEP.

Berikut adalah hasil kerja aktiviti berkumpulan bagi kumpulan 6 - 10, pelajar FEP Kursus Pembangunan Diri - Set 7 pada minggu kedua. (Khamis 22 Sept. 2011)


Mereka telah membuat perbincangan dalam kumpulan dan meringkaskan beberapa sub-topik Bab Kemahiran Komunikasi. 

Manakala kumpulan 1 -5 ditugaskan dengan membuat persembahan secara berkumpulan. 
Semoga semua pelajar dapat manfaat dari kedua-dua tugasan yang telah diberikan. 

Untuk mendapatkan nota yang disediakan oleh kumpulan 6-10. Sila klik: 


Terima Kasih di atas partisipasi semua!!

Sunday 25 September 2011

Minggu ke-3: Makin Mencabar, Makin Menarik!

Ini tema kursus Pembangunan Diri untuk pelajar Set 17 (Isnin) dan Set 7 (Khamis) untuk minggu ini. 

Sebagai persediaannya, mesti baca modul (sampai habis) sebelum ke kuliah. Bacalah soalan-soalan aktiviti bagi bab Kemahiran komunikasi. 

Datang awal serta 'set'kan objektif apa yang anda ingin capai dalam minggu ini.

Oh! Ya, anda perlu menonton video ini (sila klik) terlebih dahulu sebelum ke kuliah pada minggu ini. Kemudian cuba senaraikan sebanyak-banyaknya apa jua yang terlintas pada fikiran ketika dan setelah menontonnya. [Di mana perlu tulis point-point ini? Anda boleh tulis di facebook [PuanPensyarah PembangunanDiri] ataupun dalam SPIN]

Selamat Menonton dan Jumpa lagi!


Friday 23 September 2011

Tirai Berlabuh di Minggu Kedua


Ringkasnya minggu ini kita meninjau apakah erti 'komunikasi' dan cuba untuk memahami model dan komponen komunikasi melalui berbagai aktiviti. Dalam Kuliah bersama pelajar Set 17 bersama pelajar FPI hari Isnin lepas, kuliah kita dimulakan dengan One-Minute Session about Islam. Saya percaya pelajar set 17 dapat mengenalpasti apakah input yang mereka telah dapati di samping memikirkan apakah cara-caranya untuk meningkatkan lagi komunikasi mereka di minggu hadapan. "One Minute Session About Islam" akan terus berlangsung dalam kuliah-kuliah yang akan datang dan semua pelajar diminta untuk bersedia. Gunakan point-point yang sama (ataupun adalah sedikit penambahan baru). Saya amat percaya anda boleh meningkat dari masa ke semasa. 

Dalam aktiviti kedua di mana seorang pelajar dipanggil ke hadapan dan menerangkan gambar untuk dilukis oleh rakan-rakan, kita cuba aplikasi dua daripada tiga model komunikasi iaitu Model Komunikasi Linear dan Model komunikasi Transaksional.

Dalam model pertama, komunikasi sehala sahaja berlaku (penghantar memberikan gambaran objek-objek yang dilihat, penerima cuba untuk melukis objek tersebut tanpa memberi peluang  untuk kemukakan pertanyaan lanjut/interaksi).Model komunikasi sehala ialah model komunikasi linear.

Setelah selesai, pensyarah meminta pelajar tadi mengulang kembali penerangan tentang objek tersebut. Bezanya pada kali ini pelajar-pelajar yang lain dibenarkan bertanya secara langsung dan serentak. Di sini didapati hasil lukisan lebih baik berbanding lukisan sebelumnya. Secara mudahnya mereka telah melaksanakan model komunikasi transaksional.

Lanjutan dari itu juga kumpulan pelajar diminta untuk memberikan dua perkara yang mereka dapati daripada pengalaman (positif dan negatif) menjalankan aktiviti kedua. Dalam sesi ini sebenarnya mereka menjalankan aktiviti komunikasi bermodelkan model komunikasi transaksional juga.  Ini kerana berlaku pengiriman dan penerimaan mesej secara berterusan dalam satu episod aktiviti komunikasi. Pelajar menyenaraikan point-point mereka, didengari oleh audience yang lain dan mereka saling menokok tambah point tersebut (pengiriman), manakala pensyarah 'menerima' dan mencatit jawapan-jawapan mereka dan bertanya mereka dengan lanjut apakah yang mereka maksudkan. Pelajar yang menerima mesej pertanyaan akan mengirim semula mesej jawapan mereka secara langsung. Model komunikasi ini melibatkan proses pengiriman dan penerimaan berjalan dengan serentak. Dalam menyenaraikan point-point tadi mereka dapat mengesan beberapa 'halangan dalam komunikasi'.

Contoh mudah untuk model komunikasi interaksional ialah ketika kita menulis dan menghantar surat,  e-mail, SMS, memo dan sebagainya. Walaupun berlaku interaksi dua-hala di antara pengirim dan penerima, proses komunikasi di antara dua pihak ini berlaku secara amat perlahan. 

Aktiviti pelajar set 7 FEP pada hari Khamis tidak kurang meriahnya. Kumpulan pelajar melebihi 90 orang dibahagikan kepada 10 kumpulan. 5 kumpulan ditugaskan untuk menjalankan persembahan manakala 5 kumpulan lagi ditugaskan untuk mencipta mind maps untuk tajuk-tajuk yang diberikan. Kedua-dua tugasan yang diberikan ada keistimewaan yang tersendiri. Umumnya mereka telah 'bekerja dalam satu pasukan', dan 'cuba menyelesaikan masalah' yang diberikan, cuba 'menghasilkan outputs yang kreatif', mengaplikasikan satu teknik iaitu 'mind mapping' yang berguna untuk proses pembelajaaran sepanjang hayat' - bukan sahaja untuk kursus PD tetapi boleh digunakan untuk kursus-kursus yang diambil di fakulti. Seterusnya mereka berdiri di hadapan kuliah dengan penuh keyakinan, berjaya mencuri hati semua, membuatkan rakan-rakan yang lain terhibur dan dapat belajar perkara-perkara baru secara serentak. 


Kumpulan 1 dikehendaki membuat persembahan/aksi mengenai  model komunikasi linear
Kumpulan 2 dikehendaki membuat aksi-aksi model komunikasi interaksional
Kumpulan 3 dikehendaki membuat aksi-aksi model komunikasi Transaksional
Kumpulan 4 dikehendaki menunjukkan aksi-aksi komunikasi bukan verbal
Kumpulan 5 dikehendaki membuat persembahan mengenai halangan-halangan dalam komunikasi

Manakala Kumpulan 6-10 ditugaskan membuat mind maps beberapa tajuk. Akhirnya tulisan-tulisan dalam buku modul dipersembahakan dalam bentuk tulisan ringkas dan visual seperti di bawah.


Jumpa lagi di minggu hadapan!


Wednesday 21 September 2011

Minggu 2: Buku Modul Pembangunan Diri

Assalamualaikum dan Selamat Pagi untuk semua pelajar Set 17 dan 7!

Bermula dari minggu ini, 19 hb. September 2011, anda boleh mula membeli buku modul Pembangunan Diri yang akan menjadi rujukan pertama bagi kursus yang diambil.


Sila dapatkan naskah buku di atas di Pelajat Am Pusat Pengajian Umum bermula pada minggu ini. Harganya cuma RM15 sahaja. Kena beli cepat, jika tidak habis nanti.

Sebagai persediaan anda untuk aktiviti dalam kuliah pada minggu ini dan juga minggu depan, sila baca Bab 1.

Kehidupan adalah perjalanan. Setiap perjalanan itu bermula dengan langkah pertama. 

Jumpa lagi!

Monday 19 September 2011

Minggu 2: Short Reflection - Pelajar Set 17 FPI

Assalamualaikum dan Salam Ceria! 

Kepada semua pelajar Set 17 FPI, anda semua diminta untuk menulis 1-2 baris reflection/komen/pandangan etc. berkaitan dengan apa yang anda semua telah lalui pada hari ini di dalam kuliah. 

Seringkasnya ia bertujuan untuk pelajar mengukur pencapaian mereka/apa yang dapat mereka perolehi khususnya pada minggu ini dan apakah potensi-potensi baru yang boleh dikembangkan lagi selepas ini dengan bantuan pensyarah, rakan-rakan sekumpulan dan diri anda sendiri.

Anda boleh memberikan reflection untuk kesemua aktiviti (dari One-Minute Islam Session sehinggalah ke aktiviti terakhir) ataupun salah satu aktiviti. Anda boleh menulisnya dalam ruangan komen dalam blog ini, ataupun di facebook ataupun di dalam SPIN.

Di dalam SPIN - anda klik pada ruang communication 'Discussion Board'.  Sila baca mesej yang disediakan di dalam ruangan tersebut.

Tulislah di mana-mana satu medium tersebut dan jadikan medium itu sebagai salah satu langkah / proses anda 'berkomunikasi'.

Jangan tunggu orang lain yang memulakan terlebih dahulu. Mulakan dengan dengan diri anda. 

"Sesungguhnya Tuhan tidak akan mengubah diri anda/sikap anda, sehinggalah anda sendiri mengubahnya"

Gambar ini dirakamkan beberapa hari sebelum hari Raya Idul Fitri yang lepas. 
University of Melbourne, Australia

Mind Mapping


Semoga Beroleh Manfaat!

Friday 16 September 2011

Akaun Facebook

Kepada students Set 7 dan 17 yang ada akaun facebook.

Anda boleh mendapatkan update mengenai set anda melalui news feed. Sila add 'PuanPensyarah PembangunanDiri' ataupun buat pencarian melalui email n.n.amran@gmail.com

Anda digalakkan untuk add akaun facebook di atas untuk mendapatkan maklumat yang segera. Anda boleh guna samada akaun facebook peribadi yang telah sedia ada ataupun sign up new account khusus yang baru untuk memudahkan pencapaian maklumat kursus.

Satu lagi anda juga boleh create satu group khas yang terdiri dari pelajar-pelajar lain dalam kumpulan anda ataupun untuk keseluruhan set anda.

Saya percaya anda gemar menggunakan facebook dan banyak masa anda 'terhabis' di sini. 

Jadi mari kita gunakan facebook untuk memanfaatkan kursus kita ini.

PuanPensyarah PembanguanDiri

Thursday 15 September 2011

Pertemuan Minggu 1 - Set 7 FEP

Catitan Pensyarah
Saya terlupa banyak perkara hari ini. Lupa ini menyebabkan fizikal dan kesihatansaya tidak menentu di sebelah petang. Hari ini saya terlupa untuk lunch setelah mengambil breakfast ringan selepas bengkel pada jam 11 pagi. Jam hampir tiga petang apabila saya teringat akan perut yang kosong. Maka perut ini perlu diisi untuk menghadapi jadual kerja sehingga jam 7.00 petang. Namun jalan yang sesak dan parking yang penuh di Pusanika menyukarkan keadaan. Alhamdulillah alternatif berikutnya saya ke masjid UKM dan parking di sana kemudian berjalan kaki ke cafetaria terdekat. Jika semalam hujan lebat, hari ini panas terik.  Saya tahu risikonya apabila terlupa ini.

Ketika berjalan menuju ke DK2 FEP petang tadi, rasa pening belum hilang. Kekenyangan tidak menghilangkan pening nampaknya. Saya khuatir untuk menghadapi kuliah pertama  dengan pelajar set 7 pada hari ini tambah lagi jumlah pelajar hampir mencecah 90 orang. Lebih 20 orang berbanding kuliah sebelum ini. 

Ketika memasuki DK2 FEP, saya mula rasai beban pening ini berkurangan. Wajah-wajah pelajar memudarkan warna kesakitan yang saya bayangkan. Komitmen dan keterbukaan mereka merongkaikan simpulan-simpulan sakit yang sebelum ini seperti terpahat di kepala ini. Tiba-tiba sahaja saya berasa semangat dan bermotivasi. Tiba-tiba sahaja saya rasa gembira. Gembira yang menghilangkan sakit! Syukur kepada Tuhan! 
Kami mulakan dengan aktiviti walaupun ada tiga kali dentuman guruh di langit memberikan reminder hari akan hujan lebat. 

Saya tahu susah sebenarnya untuk melaksanakan task yang diberikan dengan bilangan yang ramai. Namun mereka ada kesungguhan dan kerjasama. Itu petanda  awal yang positif. Positif untuk aktiviti-aktiviti interaktif yang seterusnya pada masa depan. 

Aktiviti yang dijalankan ialah dengan meminta mereka membuat barisan yang panjang mengikut umur mereka. Yang paling muda di hadapan dan yang paling tua di belakang. Namun untuk menghasilkan barisan itu, mereka tidak dibenarkan bercakap. Dengan kata lain, mereka hanya dibenarkan berkomunikasi dengan cara lain. Sekali lagi saya 'terlupa' untuk merakam babak-babak tersebut. Namun saya percaya, ia adalah pengalaman yang berguna dan akan diingati kelak. Saya teringat akan suasana kuliah bersama pelajar set 17 hari Isnin lepas. Saya dapat lihat kesungguhan dan kerjasama yang sama hari ini.

Tidak habis di situ aktiviti mereka ini. Setelah mereka berjaya membuat barisan tersebut. Setiap dari mereka diminta bergerak dan mengambil tempat duduk baru dalam kuliah secara pasangan. Yang paling muda dengan yang paling tua mengikut barisan masing-masing.Keadaan semakin menarik kerana mereka semakin 'confused' kerana terpaksa menyesuaikan diri dengan rakan baru. Jika sebelum ini mereka duduk dalam kumpulan yang telah dikenali, ataupun duduk di depan ataupun belakang. Kali ini mereka 'terpaksa' untuk menyesuaikan diri dengan suasana baru walaupun berada dalam dewan kuliah yang sama. Mereka 'dibebankan' lagi dengan berkenalan dengan rakan baru sambil melukis gambaran tentang kawan mereka. Tetapi saya yakin setiap mereka punya cara tersendiri untuk menyelesaikan task 'ice-breaking' yang bertubi-tubi itu. Empat pasangan yang terpilih telah mengesahkan andaian saya. Mereka berusaha bersungguh-sungguh walaupun berasa malu, tidak biasa, segan dan keliru pada mulanya. Mereka dapat persembahkan lebih dari apa yang saya harapkan. Tahniah kepada semua. Anda amat kritis, lucu dan berkeyakinan. Mereka memberikan pelbagai respon apabila saya tanya 'apa yang anda rasa sekarang setelah membuat dan menyelesaikan aktiviti ini?' ... (panjang nak ditulis, saya harap pelajar2 saya bagi kedua-dua set akan kongsi di sini sedikit sebyk apa yang mereka rasai di minggu pertama ini)

Seterusnya saya mulakan taklimat kursus. Seperti tadi juga, tumpuan mereka amat bagus. Sayakah yang seorang-seorang teruja dengan mereka? Mungkin ya, kerana buat kali ketiga, saya 'terlupa' lagi untuk menyerahkan borang kehadiran kuliah sejak dari awal. 

Biarpun sampai tiga kali 'terlupa', saya berasa amat bersyukur kerana pelajar Set 7 dan 17 yang saya temui pada minggu pertama ini amat bagus dari segi partisipasi dan tumpuan. Saya percaya sikap positif yang anda pamerkan akan memberikan hasil yang positif kepada pengajian, kerjaya dan hidup anda kelak.

Ceria sungguh mereka!

Sehingga bertemu lagi di minggu hadapan!!

Wednesday 14 September 2011

Tugasan Minggu 1- Membentuk Kumpulan Aktiviti

Salam Ceria! Assalamualaikum dan Selamat Pagi. 

Kepada semua pelajar Kursus Pembangunan Diri bagi Set 17 (FPI - DK1 FPI Isnin 4-6pm) dan Pelajar Set 7 (FEP - DK2 FEP Khamis 5-7pm)

Anda diminta membentuk kumpulan aktiviti yang dianggotai oleh 5-6 (set 17) ahli ataupun 9-10 orang ahli. (set 7)

Setelah kumpulan dibentuk, lantiklah seorang ketua. Anda diberikan kebebasan untuk menstruktur kumpulan anda.

Setiap ahli digalakkan mempunyai sekurang-kurangnya satu tanggungjawab. Cthnya: 'lina' bertugas menghantar reminder kepada rakan-rakan sekumpulan sebelum kuliah untuk mengingatkan mereka tentang kuliah pada minggu/hari tersebut.

Jangan lupa memberikan nama menarik kepada kumpulan anda.

Kumpulan anda dikehendaki membuka ruangan Discussion Board di dalam SPIN untuk memasukkan info ahli masing-masing.

1. Sila pastikan Nama dan No. Matrik ahli kumpulan betul.
2. Sila nyatakan siapakah ketua kumpulan anda dan no.tel beliau.
3. Sila ambil gambar ahli kumpulan anda beramai-ramai. Pastikan gambar tersebut unik dan menarik yang anda akan kenang pada masa hadapan.

Arahan selanjutnya bagaimana anda memasukkan maklumat ahli kumpulan dan gambar ke SPIN akan dimaklumkan di dalam kuliah Minggu-2.

Jika anda ada pertanyaan mengenai perkara di atas bolehlah dikemukakan dalam ruangan komen posting ini, ataupun email kepada pensyarah. najah@ukm.my

The fact is, that to do anything in the world worth doing, 
we must not stand back shivering and thinking of the cold and danger, 
but jump in and scramble through as well as we can.
 Robert Cushing

Monday 12 September 2011

Pertemuan Minggu 1 - Set 17 FPI

Berikut dinyatakan makluman ringkas pertemuan 1 bagi kursus Pembangunan Diri Set 17 (12 Sept 2011) dan 7 (15 Sept 2011).

1) Ice-breaking
2) Taklimat Ringkas mengenai Kursus

Source of Photo: IluvIslam.com 
Sinopsis Taklimat - Pengenalan Kursus. 

Catitan Aktiviti 12/9/2011
Sebelum memulakan taklimat mengenai kursus Pembangunan Diri, pelajar set 17 telah diminta menjalankan satu aktiviti ice-breaking.

Mereka diminta bersedia dengan kertas kosong dan membuat 18 petak. Setiap petak ditulis dengan satu ciri individu contohnya 'anak kedua', ibu seorang guru', 'selalu ke masjid/surau' 'suka mee kari' , 'ada akaun facebook'. Setelah itu mereka perlu mendapatkan sebanyak mungkin tandatangan daripada rakan-rakan yang memiliki salah satu ataupun beberapa ciri yang terdapat di dalam petak yang disediakan. 

Ada yang mendapatkan sekurang-kurangnya 3-5 tandatangan bagi satu-satu petak dan ada yang mendapat sehingga sebanyak 24 tandatangan untuk salah satu petak. Bergantung kepada daya usaha, strategi, dan matlamat setiap pelajar. 

Para pelajar bergerak mencari dan mengenali rakan-rakan mereka.  

Pelajar siswi kelihatan menemubual pelajar siswa untuk mengenalpasti siapa yang 'selalu ke masjid/surau' dan 'suka main bola'.

Setelah selesai aktiviti tersebut, para pelajar diminta mengemukakan respon dan reflek terhadap apa yang telah dilalui mereka.

Kemudian pensyarah memulakan taklimat kursus dan diikuti dengan soaljawab di akhir kuliah.

Antara sasaran kemahiran Insaniah - Kemahiran Komunikasi. Pelajar akan didedahkan dengan aktiviti yang boleh dinilai seperti skala berikut. Hasilnya pelajar dapat mengenalpasti kelemahan dan kelebihan serta meningkatkan lagi pembangunan diri mereka.

Skala Markah 1-3 

  • Tidak mampu menggunakan penampilan fizikal, gerak tubuh dan hubungan mata. 
  • Tidak dapat menyampaikan idea  dengan sebutan jelas, tersusun, lancar dan nada bersesuaian.
  • Tidak mengguna laras bahasa yang sesuai, tidak peka dengan perbezaan budaya
  • Tidak selesa berinteraksi menggunakan bahasa antarabangsa
Skala Markah 4-7
  • Kerap menggunakan penampilan fizikal, gerak tubuh dan hubungan mata.
  • Mampu menyampaikan idea  dengan sebutan jelas, tersusun, lancar dan nada bersesuaian mengguna laras bahasa yang sesuai.
  • Menghormati perbezaan budaya
  • Selesa berinteraksi menggunakan bahasa antarabangsa
Skala Markah 8-10


  • Sentiasa konsisten  dan sangat berkesan dalam penampilan fizikal, gerak tubuh dan hubungan mata.
  • Sentiasa konsisten  dan sangat berkesan dalam menyampaikan idea  dengan sebutan jelas, tersusun, lancar dan nada bersesuaian,
  • Sentiasa menggunakan laras bahasa yang sesuai, menghormati perbezaan budaya
  • Sentiasa konsisten dan selesa berinteraksi  menggunakan bahasa antarabangs 
Sebelum kuliah berakhir, para pelajar diminta mencari dan membentuk kumpulan kecil dan melantik dua orang pelajar di kalangan mereka sebagai 'class rep' bagi set mereka.

Thursday 8 September 2011

Aluan

Jadi cita-cita anda sudah menjadi seorang pelajar universiti sudah tercapai hari ini? 

Bersediakah untuk mengikuti kursus pembangunan diri? 

Apakah Kursus Pembangunan Diri? 

Fikir sejenak,  tulis sedikit apakah yang bakal anda tempohi dari kursus ini. Kemudian bandingan apakah yang anda dengar dari taklimat pensyarah dengan nota yang anda telah tulis! 

source: iluvislam.com





Pages